Festival Kraf Perak 2026 gamit 110,000 pengunjung

Shaharuddin Abu Sohot (dua dari kanan) melihat demonstrasi ukiran kayu selepas merasmikan Program Jelajah Mesra Festival Kraf Perak 2026 di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Komitmen berterusan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) berjaya mengangkat industri kraf negara dalam kelas tersendiri menerusi penganjuran Festival Kraf Perak 2026.

Festival selama sembilan hari sehingga 6 September ini yang berorientasikan sasaran nilai jualan sebanyak RM1.8 juta, mampu menggamit kehadiran seramai 110,000 pengunjung.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, bertempat di bangunan ikonik iaitu Menara Condong di sini bermula kelmarin dari pukul 10 pagi hingga itu tersebut turut melibatkan 61 usahawan kraf seluruh negara yang mengetengahkan pelbagai produk kraf termasuk tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf.

“Produk kraf dari bidang tekstil khasnya batik merupakan penyertaan paling ramai iaitu 26 orang usahawan kraf diikuti bidang kraf hasil rimba sebanyak 13 usahawan seterusnya logam, aneka kraf dan hasil tanah.

“Penganjuran festival ini adalah sebagai platform kepada usahawan kraf untuk mempromosikan dan mengkomersialkan produk kraf negara kepada masyarakat tempatan dan pelancong. Selain itu, dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap kraf berindentiti Malaysia,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah Mesra Festival Kraf Perak 2026 di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali dan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perak, Mohamad Rizan Mohamad Nordin.

Kata Shaharuddin, keunikan festival itu turut menampilkan persembahan tarian singa oleh Persatuan Tarian Singa Hong De Teluk Intan serta demonstrasi ukiran kayu yang menampilkan tiga generasi penggiat kraf berprofil tinggi.

Ujarnya, penglibatan itu memperlihatkan kesinambungan usaha Kraftangan Malaysia dalam melahirkan tenaga mahir dan memastikan kelangsungan seni ukiran kayu sebagai warisan negara.

“Turut terlibat ialah komuniti kraf baharu menerusi tujuh Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) sebagai platform simulasi perniagaan dan pengembangan kemahiran keusahawanan.

“Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan sepanjang festival antaranya padanan perniagaan, pameran produk kraf baharu, pameran Institut Kraf Negara, aktiviti interaktif, persembahan keseniaan, lawatan berpandu, Larian Kraf Perak serta pelbagai pertandingan dan kuiz interaktif,” katanya.

Jelasnya, penganjuran festival itu mencerminkan komitmen berterusan MOTAC dan Kraftangan Malaysia dalam memelihara serta memartabatkan seni warisan bangsa selain memperkasa sosioekonomi usahawan kraf tempatan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan persediaan menuju kempen Melawat Malaysia 2026-2027 (VM2026-2027).

Shaharuddin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan strategik festival tersebut seperti Pejabat Daerah Dan Tanah Hilir Perak, Majlis Perbandaran Teluk Intan, polis dan Tourism Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN