Guru, anak maut MPV jatuh gaung

KEADAAN Toyota Estima yang terbabas sebelum terjunam ke gaung di Kilometer 149.9, Jalan Kuantan-Seremban di Rompin, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Seorang wanita dan anak lelakinya berusia enam tahun maut selepas kendera­an pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabas dipercayai terlanggar sebatang kayu di atas permukaan jalan sebelum hilang kawalan dan terjunam ke dalam gaung di Kilometer 149.9, Jalan Kuantan-Seremban di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam kelmarin itu, mangsa, Kartinie Ngatenan, 46, yang juga seorang guru dan anaknya, Muhammad Akif Mohd Azmi, 6, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kemala­ngan berlaku ketika kereta jenis Toyota Estima dipandu suami mangsa, Mohd. Azmi Mohajir, 47, dalam perjalanan dari arah Seremban, Negeri Sembilan menuju Felda Keratong.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, kenderaan itu dipercayai terlanggar sebatang kayu yang berada atas permukaan jalan sebelum hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan lalu terjatuh ke dalam gaung.

“Akibat kemalangan itu, pemandu mengalami kecederaan di kepala dan menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Muadzam Shah.

“Dua penumpang iaitu iste­rinya dan anak lelaki mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sharif Shai berkata, pemeriksaan awal mendapati jalan di lokasi merupakan jalan lurus dua lorong dua hala manakala permukaannya rata, kering dan berturap.

Katanya, kawasan berkenaan juga tidak mempunyai lampu jalan dan keadaan ketika kejadian tersebut adalah gelap namun cuaca baik.

“Mayat kedua-dua mang­sa dihantar ke Unit Forensik Muadzam Shah untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN