‘Hanya sempat capai beg tangan’

ZAIRINI Hamzah menunjukkan rumah sewanya yang terbakar di Kampung Kota Jembal, Kota Bharu, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dua buah rumah sewa yang didiami tujuh sekeluarga di Kampung Kota Jembal di sini musnah dalam kebakaran selepas berlaku litar pintas di salah sebuah kediaman tersebut, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pu­kul 5 pagi itu, peniaga pasar malam, Zairini Hamzah, 52, dan keluarga anaknya, Hazwani Pad­lisah, 32, kini tinggal sehelai se­pinggang kerana tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam kedua-dua rumah itu.

Zairini berkata, kejadian di­percayai berpunca daripada litar pintas di rumah Hazwani yang terletak di sebelah sebelum api merebak.

Katanya, dia ketika itu sedang tidur terus berlari mengejutkan dua cucunya yang berusia dua tahun an enam tahun sebelum keluar dari rumah tersebut.

“Saya hanya sempat mencapai beg tangan yang mengan­dungi wang dan semua dokumen termasuk surat pajak gadai. Semua stok barang makanan yang disimpan di dalam peti ais untuk dijual di pasar malam turut terbakar,” katanya di lokasi kejadian semalam.

Zairini berkata, litar lintas di rumah anaknya itu berlaku dipercayai kerana sistem pendawaian di kediaman tersebut sudah lama.

Katanya, sistem pendawaian di kedua-dua rumah itu tidak pernah diperiksa atau ditukar bermula dia menyewa di situ sejak 2009.

“Selain rumah, dua buah kereta jenis Proton Wira dan Proton Juara, dua motosikal jenis Yamaha Y15 dan Yamaha NVX turut musnah dijilat api dalam kebakaran ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Mohd. Faizol Hisam Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.24 pagi sebelum 19 anggota bomba ke lokasi kejadian untuk operasi memadam kebakaran.

Menurutnya, anggota bomba mengambil masa hampir sejam untuk memadam kebakaran dan operasi tamat kira-kira 6.25 pagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN