PETALING JAYA: Lambakan cili merah import dari China dan Vietnam di pasaran tempatan kini menimbulkan persoalan mengenai tahap pematuhan hasil tanaman itu terhadap Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 khususnya berkaitan residu racun perosak.
Walaupun Jabatan Pertanian mewajibkan Sijil Analisis (COA) bagi lima jenis sayuran import termasuk cili merah berkuat kuasa 1 Jun lalu, persoalan kini timbul sama ada semua sayuran tersebut termasuk cili merah import benar-benar mematuhi piawaian keselamatan itu.
COA merupakan dokumen rasmi yang mengandungi keputusan ujian makmal bagi mengesahkan paras residu racun perosak berada dalam had maksimum residu (MRL) yang dibenarkan.
Sijil tersebut perlu dikeluarkan makmal yang diiktiraf pihak berkuasa negara pengeksport.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Selangor, Dr. Ab Razak Khasbullah berkata, pengesahan COA dengan melibatkan jumlah yang banyak termasuk kira-kira 300 tan sehari tidak menjamin konsainan yang dibawa masuk, benar-benar mematuhi piawaian keselamatan makanan ditetapkan.
Katanya, ia sekali gus membuka ruang kepada ketirisan serta penipuan khususnya membabitkan pengesahan kandungan racun perosak dan pematuhan MRL yang dibenarkan.
“Persoalannya bagaimana makmal betul-betul diiktiraf dan menerima akreditasi. Adakah syarikat yang mengeksport betul-betul mengikut prosedur ? Berapa kali kekerapan sampel cili diambil untuk ujian di negara ini dan adakah adakah Malaysia mengesahkan keputusan COA melalui sampel sendiri.
“Selain itu, apakah prosedur yang perlu dipatuhi sama ada pengeksport dan juga pengimport bagi membawa masuk sayur terutama cili merah ke negara ini? Dengan jumlah import yang begitu tinggi iaitu sehingga mencecah 300 tan, adakah semua cili import mematuhi piawaian MRL yang ditetapkan,? “ katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Utusan Malaysia Sabtu lalu melaporkan kira-kira 300 tan cili merah yang diimport dari China dan Vietnam ke negara ini telah dijual tanpa kawalan sehingga menjejaskan mata pencarian 4,000 petani tempatan.
Keadaan ini menyebabkan pendapatan petani merosot sehingga mencecah 26 peratus, dengan rata-rata daripada mereka hanya meraih keuntungan bersih dianggarkan RM1,760 sebulan.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi ketika dihubungi berkata, semua cili yang akan dieksport akan dianalisis di negara masing-masing sebelum COA dikeluarkan.
“Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kemudian akan menyemak dokumen COA dikemukakan bagi setiap konsainan cili import,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, berdasarkan tinjauan di Pasar Chow Kit mendapati, cili import dari Thailand, Vietnam dan Indonesia menjadi antara pilihan pengguna ekoran harganya yang lebih murah.
Peniaga, Suhaili Mohd. Ali, 54, berkata, dia boleh menjual pada jumlah yang banyak terutama ketika hujung minggu bagi cili merah import.
“ Cili merah import harganya sekitar RM5,00 sekilogram (kg) manakala untuk cili tempatan pula harganya lebih tinggi sehingga yang mencecah lebih RM10 setiap kg. Jadi orang pilih cili import.
“Bagi peniaga pula, kami ikut permintaan pelanggan dan bekalan yang ada. Kalau harga import lebih rendah memang lebih ramai yang akan beli,” katanya. – UTUSAN










