QINGDAO, CHINA : Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Qingdao Huanghai University (QHHU) bakal menjayakan Beyond Borders English Programme (BBEP) dengan termeterainya perjanjian kerjasama di QHHU antara kedua-dua pihak.
Program berkenaan menjadi antara langkah awal dalam memperluaskan kerjasama pendidikan antara kedua-dua institusi, khususnya dalam pembangunan bahasa Inggeris dan persediaan akademik pelajar.
Melalui Unit Pembangunan Profesional (PDU), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), UUM telah mengorak langkah awal menerusi BBEP sebagai program latihan bahasa yang menyokong keperluan pelajar dalam konteks pendidikan tinggi antarabangsa.
BBEP akan ditawarkan melalui QHHU–UUM Learning Centre yang turut dirasmikan bersempena majlis tersebut.
Bercakap secara dalam talian, Naib Canselor UUM, Prof. Ahmad Martadha Mohamed berkata, penubuhan pusat berkenaan memberi ruang kepada kedua-dua universiti untuk membangunkan kerjasama secara lebih tersusun, bermula dengan latihan bahasa dan seterusnya berkembang kepada inisiatif akademik yang lebih luas.
Menurutnya, beliau melihat kerjasama itu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan jaringan antarabangsa UUM melalui hubungan institusi yang dapat memberi manfaat jangka panjang kepada pelajar, ahli akademik dan kedua-dua universiti.
Aspirasi tersebut selari dengan hasrat Presiden QHHU, Li Qingshan untuk memperluaskan jaringan antarabangsa universiti berkenaan, memperkukuhkan pembangunan pelajar serta meningkatkan peluang pembelajaran dan pertukaran kepakaran dengan institusi luar negara.
Keselarasan aspirasi kedua-dua pemimpin universiti itu memberikan asas yang kukuh kepada perkembangan QHHU–UUM Learning Centre sebagai platform yang bukan sahaja menyokong pelaksanaan BBEP tetapi turut membuka ruang kepada kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pembangunan profesional, mobiliti akademik dan pertukaran budaya.
UUM diwakili Dekan SLCP, Prof. Madya Mohamad Khadafi Rofie; Pengarah Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa, Prof. Madya Ahmad Hisham Zainal Abidin serta Pengurus PDU, SLCP, Dr. Noor Asbahan Shahizan. –UTUSAN










