Serian ‘diambang’ darurat, IPU tahap bahaya 438

Matahari kelihatan suram diselubungi jerebu tebal menerusi satu pemandangan yang dirakamkan di Jalan Serian-Tebedu, semalam. – BERNAMA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat lokasi di Sarawak mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap bahaya dengan daerah Serian menjadi kawasan paling terjejas dan ‘diambang’ darurat apabila merekodkan bacaan 438, semalam.

Kemaskini portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), dua lagi kawasan dengan bacaan IPU pada tahap bahaya adalah Kuching iaitu 376, Samarahan (353) dan Sri Aman (335).

Setakat 6.30 petang semalam, terdapat tiga lagi kawasan juga di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat iaitu Sarikei dengan bacaan 277, Sibu (243) dan Mukah (216).

Berdasarkan papan pemuka APIMS, IPU dengan bacaan 0 hingga 50 dikategorikan sebagai sihat; 51 hingga 100 (sederhana); 101 hingga 200 (tidak sihat); 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Selain itu, terdapat 15 lagi kawasan melibatkan Sarawak, Kedah, Labuan, Pulau Pinang, dan Sabah turut mencatatkan bacaan tidak sihat (101 hingga 200).

Di Sarawak, kawasan menunjukkan bacaan tidak sihat melibatkan Samalaju pada bacaan 197, Bintulu (178), ILP Miri (174), Miri (174), Kapit (166) dan Limbang (161).

Di Kedah melibatkan kawasan Sungai Petani yang mencatatkan kualiti udara 155, di Labuan pula bacaan menunjukkan pada tahap 165 manakala di Pulau Pinang kawasan terlibat adalah Seberang Jaya (156), Seberang Perai (155) dan Minden (153).

Di Sabah pula melibatkan tiga kawasan iaitu Tawau (153) dan Politeknik Kota Kinabalu (121) dan Kimanis (116).

Sementara itu, Timbalan Pre­mier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kawasan dengan bacaan IPU melebihi 500 akan diisytiharkan darurat oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Bagaimanapun, beliau berkata, pengisytiharan itu hanya me­libatkan lokaliti terjejas dan bukan seluruh Sarawak.

“Jika kawasan mencapai paras IPU 500, keadaan itu akan dirujuk kepada Nadma di Kuala Lumpur (peringkat Persekutuan) untuk tindakan selanjutnya mengikut prosedur pengurusan bencana.

“Sekiranya darurat dikuatkuasakan, semua pejabat serta sektor awam dan swasta di kawasan terbabit akan ditutup, dan hanya perkhidmatan pen­ting dibenarkan beroperasi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ke­tua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) berpusat di Singapura pada Ahad, melaporkan terdapat 324 titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia, 42 titik panas di Sumatera dan dua titik panas di Perak dan Sarawak.

Katanya, Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC juga menunjukkan keadaan cuaca kering berlaku di kebanyakan kawasan di rantau ASEAN selatan, kecuali di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia yang menerima hujan.

“Titik panas bertaburan hingga meluas dikesan di Kalimantan dan Sumatera, manakala beberapa titik panas dikesan di kawasan lain di rantau ASEAN selatan.

“Kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal diperhatikan meliputi Kalimantan Barat dan Kalimantan Te­ngah serta Brunei dan bahagian barat dan tengah Sarawak.

“Kepulan asap rentas sempadan sederhana turut diperhatikan berpunca daripada kelompok titik panas di Kalimantan Utara dan bergerak memasuki bahagian selatan Sabah. Kepulan asap sederhana hingga tebal turut diperhatikan berpunca daripada kelompok titik panas di kebanyakan kawasan di Kalimantan serta bahagian tengah dan selatan Sumatera,” katanya.

Akibatnya, beliau berkata, banyak stesen pemantauan kua­liti udara di Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah, bahagian tengah dan selatan Sumatera, bahagian barat Semenanjung Malaysia serta Sarawak merekodkan bacaan pada tahap Tidak Sihat hingga Berbahaya.

“Keadaan keseluruhan titik panas dan jerebu di rantau ini tidak dapat ditentukan sepenuhnya berikutan litupan awan,” katanya.

Mengulas lanjut, Azuri Azizah berkata, JAS melalui Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan sentiasa memantau kualiti udara dari semasa ke semasa dan tindakan yang akan diambil adalah selaras dengan pelan yang melibatkan kesemua agensi-agensi berkaitan.

Katanya, antara tindakan yang perlu dilaksanakan oleh agensi Nadma akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah,negeri dan pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih dari 24 jam.

“Semua aktiviti di luar bilik darjah akan dihentikan apabila IPU mencatatkan bacaan me­lebihi 100,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN