Pemulangan semula subsidi petrol melegakan ramai pihak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Langkah kerajaan memulangkan semula subsidi petrol Budi Madani (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan pasti melegakan sebahagian rakyat.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.

Amanat itu disampaikan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 yang disambut hari ini dan pengumumannya sudah lama ditunggu oleh mereka yang menggunakan petrol dalam jumlah yang besar.

Langkah itu membolehkan lebih 16 juta pengguna menikmati RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan.

Selain BUDI95, kerajaan turut mengumumkan enam ikhtiar lain yang melibatkan pelbagai perkara bagi memberi manfaat kepada rakyat.

Walaupun kurang daripada satu peratus rakyat menggunakan lebih daripada 200 liter RON95 secara konsisten, langkah itu pastinya memberi manfaat kepada ramai lagi yang menggunakan petrol hampir 200 liter sebulan.

Ramai rakyat yang terpaksa berjimat menggunakan RON95 kerana bimbang dikenakan harga tanpa subsidi sebanyak RM3.82 seliter berbanding harga subsidi RM1.99 seliter.

Walaupun berbeza kira-kira seringgit lebih, tetapi orang ramai yang mengisi minyak petrol untuk kereta bukan membelinya satu liter sebaliknya boleh mence­cah sekurang-kurangnya 20 liter.

Lagi jauh perjalanan mereka, lagi banyak mereka menggunakan petrol yang bermakna mereka terpaksa membayar lebih banyak wang untuk bahan api.

Mungkin kerana bimbang terlebih bajet bulanan, mereka hanya menggunakan BUDI95 yang bersubsidi. Oleh sebab itu mereka terpaksa mengehadkan perjalanan pada setiap bulan terutama mengurangkan perjalanan jauh seperti balik kampung, bercuti atau mengunjungi saudara mara.

Walaupun mungkin berbeza RM100 atau RM200 berbanding petrol tanpa subsidi, bagi sesetengah pihak ia mungkin tidak menjadi hal kepada mereka tetapi sesetengah orang amat besar jumlah tersebut.

Apatah lagi yang terpaksa melakukan perjalanan jauh dengan memandu kereta untuk berulang ke tempat kerja setiap hari.

Hari ini bukan satu yang pelik, jika ada yang tinggal di Tanjung Malim tetapi bekerja di Kuala Lumpur atau Putrajaya dan ada juga yang tinggal di Seremban dan bekerja di Kuala Lumpur.

Malah ada juga yang berulang alik dari Sungai Petani hingga ke Pulau Pinang setiap hari.

Golongan ini pastinya terjejas dan subsidi petrol 200 liter memang tidak mencukupi dan hujung bulan sebelum jumlah subsidi berakhir amat menyakitkan untuk mereka kerana terpaksa membeli petrol tanpa subsidi.

Sebab itulah pengumuman Perdana Menteri semalam amat melegakan bagi kumpulan ini dan ramai lagi yang mahu melakukan perjalanan jauh pada setiap bulan.

Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pemangku Timbalan Pengarang Utusan Malaysia