INSKEN bantu usahawan lonjak hasil jualan sebanyak RM101 juta

MAIZURA MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program latihan dan bimbingan keusahawanan anjuran Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), berjaya membantu usahawan mikro dan tidak formal melonjakkan hasil jualan sebanyak RM101 juta sejak diperkenalkan pada 2017 hingga tahun lalu.

Dalam tempoh tersebut, sebanyak 1,134 pekerjaan baharu dicipta dan 130 usahawan bertukar status perniagaan daripada mikro kepada kecil.

Pada tahun lalu sahaja, program bimbingan INSKEN telah mencatatkan jualan hasil sebanyak RM23 juta melalui pelaksanaan 24 program bimbingan terdiri daripada 19 Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan lima Program Bimbingan Keuntungan Menu.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, pelaksanaan program latihan dan bimbingan INSKEN bukan sahaja mengikut keperluan industri, malah bertepatan dengan tonggak dasar Membangun Malaysia Madani iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

“Usaha INSKEN adalah mengintegrasikan modul dan kerangka program serta latihan mengikut nilai Madani tersebut dan sekaligus dapat membantu kelangsungan perniagaan yang memberi impak kepada kesejahteraan kehidupan rakyat Malaysia khususnya golongan usahawan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, selain program bimbingan, INSKEN turut melaksanakan program latihan jangka masa pendek yang memberi fokus kepada jualan dan pemasaran, kewangan, operasi serta pengurusan perniagaan.

Tahun lalu, 207 program latihan telah dianjurkan yang memanfaatkan 6,437 usahawan di seluruh Malaysia. Antara program latihan yang dilaksanakan adalah Kursus Asas Pembangunan Produk dan Servis (KAPPS), Kursus Asas Keusahawanan (KAK), Kursus Asas Industri dan banyak lagi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Dr. Maizura Mohamad berkata, hala tuju 2025 juga jelas bahawa INSKEN akan terus komited dan proaktif dalam membantu usahawan mikro dan informal melalui pelaksanaan program latihan serta bimbingan berasaskan industri secara berterusan.

Kata beliau, terdapat program baharu yang akan dijalankan pada tahun ini iaitu Program INSKEN Mini Coaching berfokuskan kepada 4 topik; Program Bimbingan Pengurusan Pekerja, Program Bimbingan Pengurusan Kewangan, Program Bimbingan Pemasaran dan Program Bimbingan Pembangunan Produk.

“Tahun ini INSKEN mensasarkan sehingga 25,000 usahawan seluruh Malaysia akan mendapat manfaat melalui 198 program latihan dan bimbingan. Justeru itu, INSKEN mengalu-alukan lebih banyak rakan kolaborasi untuk berganding bahu bersama-sama membantu usahawan di Malaysia.

“Tahun lalu, INSKEN telah bekerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Lembaga Zakat Selangor, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Maybank Islamic, Public Islamic dan banyak lagi melalui program seperti KAK dan KAPPS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN