GEN Sphere, pembangunan apartmen servis berstatus pegangan bebas oleh Majestic Gen mencatatkan jualan sepenuhnya atau sejak pelancarannya pada Julai 2025, sekali gus menonjol sebagai mercu tanda gaya hidup moden di tengah arus perubahan pesat Johor Bahru.
Pembangunan yang dibangunkan di atas kawasan strategik seluas 0.51 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM837 juta ini memikat pelbagai segmen pembeli, daripada profesional dan keluarga muda hingga pelabur berpengalaman.
Setiap unit menawarkan keluasan antara 459 kaki persegi sehingga 755 kaki persegi, termasuk pilihan susun atur dwi-kunci yang fleksibel bagi memenuhi keperluan kehidupan pelbagai generasi, gaya kerja hibrid atau sebagai instrumen penjanaan pendapatan sewaan.
Kedudukannya yang sangat strategik dengan jarak berjalan kaki hanya 440 meter ke JB Sentral dan 700 meter ke Stesen Rapid Transit System (RTS) Link Bukit Chagar menjadikan Gen Sphere hab kediaman yang sangat dikehendaki kerana ketersambungan mobiliti bandar dan akses rentas sempadan yang unggul.
Pembangunan ini turut disokong oleh konsep landskap Neo Horizon yang menggabungkan elemen biomimikri dan futuristik, sekali gus mewujudkan persekitaran yang mengutamakan kehijauan, cahaya semula jadi dan ruang terbuka untuk kesejahteraan penghuni.
Ketua Pegawai Operasi Majestic Gen, Datuk Hoo Kim See berkata, kejayaan Gen Sphere mencerminkan kekuatan visi syarikat dalam memenuhi aspirasi generasi baharu yang melihat Johor Bahru sebagai pusat peluang, hubungan dan pertumbuhan serantau.
“Kejayaan ini bukan sekadar angka, malah mencerminkan tahap kepercayaan tinggi pasaran. Visi kami adalah untuk membangunkan ruang kediaman yang selari dengan denyut nadi bandar masa depan, sekali gus memberikan nilai jangka panjang kepada pemilik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Majestic Gen, Ta Wee Dher berkata, kehadiran projek ini sangat bertepatan dengan transformasi yang dibawa oleh RTS Link yang dijangka memendekkan tempoh perjalanan rentas sempadan kepada hanya enam minit.
“RTS Link sedang mengubah cara hidup, bergerak dan berhubung. Gen Sphere direka dengan mengambil kira perubahan ini, dan sambutan luar biasa ini membuktikan pembeli melihat nilainya dalam sebuah bandar yang sedang memasuki fasa pertumbuhan baharu yang kukuh.
“Pembangunan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Majestic Gen dalam menetapkan standard baharu kehidupan bandar di Johor Bahru yang lebih menyeluruh, inklusif dan berdaya tahan,” katanya.
Dengan harga bermula dari RM609,000, Gen Sphere turut menawarkan gaya hidup aktif melalui lapan zon kemudahan bertema merangkumi empat tingkat, termasuk kemudahan premium di Aras 50 dan 50M seperti kolam renang infiniti, gimnasium serta gelanggang pelbagai guna untuk pickleball dan badminton.
Pembangunan yang berjaya ini bakal memberi manfaat kepada seluruh komuniti, dan Gen Sphere berdiri megah sebagai simbol kemajuan serta evolusi Johor Bahru sebagai hab kosmopolitan serantau yang mampan untuk generasi masa depan. – UTUSAN










