Bank Muamalat Kuala Selangor rekod RM11.9 juta jumlah perniagaan

BORHAN Aman Shah dan Khairul Kamarudin memotong reben sebagai simbolik perasmian pembukaan Bank Muamalat Cawangan Kuala Selangor di Kuala Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) Cawangan Kuala Selangor merekodkan jumlah perniagaan sebanyak RM11.9 juta dalam tempoh dua bulan sejak dibuka pada 26 Jun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khairul Kamarudin berkata, pencapaian tersebut dicatatkan di cawangan baharunya menerusi penyampaian perkhidmatan kewangan kepada lebih 350 pelanggan dalam tempoh sama.

“Pencapaian awal itu mencerminkan keperluan sebenar masyarakat setempat terhadap perkhidmatan kewangan yang mudah diakses, dipercayai dan relevan.

“Kuala Selangor dipilih berdasarkan potensi ekonominya yang kukuh dan pelbagai. Daerah itu mempunyai kekuatan dalam sektor pelancongan, pertanian, perikanan, industri makanan halal, perusahaan kecil dan sederhana serta ekonomi komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis perasmiannya yang disempurnakan oleh Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah di sini, hari ini.

Tambahnya, pembukaan cawangan di lokasi tersebut membolehkan Bank Muamalat memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di Bestari Jaya, Ijok, Jeram, Tanjong Karang dan kawasan berhampiran.

Sementara itu, Borhan memaklumkan Kuala Selangor mempunyai kekuatan ekonomi tersendiri yang tidak terhad kepada pelancongan, malah turut dipacu oleh pelbagai sektor serta penglibatan komuniti usahawan yang semakin berkembang.

“Saya percaya dengan kehadiran Bank Muamalat akan memberi nilai tambah kepada pembangunan ekonomi di daerah ini serta membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat dan usahawan tempatan.

“Kita memerlukan kerjasama erat sektor awam dan swasta termasuk institusi kewangan seperti Bank Muamalat agar pertumbuhan ekonomi negeri dapat terus dipacu secara mampan dan manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN