KELEBIHAN mengadun rasa dan menzahirkan kreativiti menerusi pembuatan kek menjadi titik tolak kepada kejayaan jenama tempatan, SugarCandy yang kini semakin kukuh berkembang sebagai antara pilihan utama penggemar pencuci mulut.
Diasaskan oleh Tengku Nurul Iman Alianna Tengku Ali Sha, 34, perniagaan itu memulakan langkah pertamanya secara kecilan di rumah pada usia 17 tahun sebelum berkembang memiliki tiga buah cawangan fizikal serta ruang acara tersendiri hari ini.
Tengku Alianna berkata, minat mendalam terhadap dunia pembuatan kek mendorongnya menjual pelbagai kek dan kek cawan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati demi mencari pendapatan sampingan sejurus tamat pengajian peringkat asasi dalam bidang perniagaan.
“Pada awalnya saya buat kek untuk keluarga dan rakan-rakan, kemudian mula memuat naik gambar di Facebook. Apabila ramai bertanya dan mahu membeli, saya terus mengambil peluang itu untuk menjual secara kecilan di tepi jalan.
“Masa itu, saya hasilkan 200 unit cawan kek setiap hari dan mampu menjana RM800 sehari. Hasil jualan itulah yang saya kumpul sedikit demi sedikit untuk membeli ketuhar, menyewa ruang dapur khas dan akhirnya membuka kelas hiasan kek secara kecil-kecilan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Perjalanan SugarCandy semakin teratur selepas lima tahun beroperasi apabila struktur pengurusan dan operasinya disusun semula secara profesional oleh rakan kongsi yang juga Pengarah Jualan dan Pemasaran, Megat Amir Danish Amir Noor Rashid.
Menyentuh mengenai cabaran terbesar, Tengku Alianna tidak menafikan pernah berdepan fasa sukar apabila membuat keputusan untuk berkembang terlalu pantas dengan membuka enam cawangan dalam tempoh dua tahun sejurus fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Waktu PKP jualan kami sangat memberangsangkan dan kami ada modal tambahan. Kami ingat secara logik bila ada enam cawangan, pendapatan akan bertambah enam kali ganda. Namun enam cawangan bermakna enam kali ganda masalah yang perlu diuruskan.
“Ada cawangan yang mencatatkan aliran negatif sehingga terpaksa ditampung cawangan lain. Selepas dua tahun bertahan, kami buat keputusan untuk pengecilan operasi dan mengekalkan tiga cawangan utama di Wangsa Maju dan Shah Alam. Langkah itu ternyata lega dan hasil pendapatan kami tetap sama seperti dahulu,” jelasnya.
Selain itu, SugarCandy turut dikenali dengan promosi ikonik ‘2 Kek RM100’ yang ditawarkan sejak tahun 2020.
Mengulas mengenai rahsia mengekalkan harga berbaloi itu di tengah-tengah lonjakan kos bahan mentah, Tengku Alianna menegaskan pihaknya tidak sesekali berkompromi dari segi rasa dan kualiti.
“Harga bahan mentah memang naik mendadak, contohnya serbuk koko yang dulu RM30 kini mencecah RM60. Namun kami tak sanggup guna bahan murah kerana pelanggan sudah tahu standard rasa kek kami.
“Idea jual kek pada harga mampu milik ini juga datang daripada pengalaman peribadi saya yang tidak pernah merasa kek hari lahir sewaktu kecil. Jadi bila lihat pelanggan bawa anak dan keluarga beli kek kami untuk menyambut hari lahir, rasa sangat puas. Margin mungkin berkurang untuk set promosi, tetapi kami imbangkan menerusi tempahan kek tempahan khas dan perkhidmatan lain,” ujarnya.
Kini, SugarCandy tidak lagi terhad kepada jualan kek semata-mata, malah turut memperluaskan portfolio perniagaan menerusi penawaran produk pencuci mulut mengikut trend semasa, gubahan bunga, khidmat penghantaran kejutan serta perkhidmatan ruang acara lengkap yang mampu memuatkan sehingga 200 tetamu.
Bagi perancangan masa depan, pihaknya berhasrat untuk terus mengukuhkan perkhidmatan ruang acara serta merancang untuk mendapatkan pensijilan halal secara berfasa bagi semua cawangan.
Tambah Tengku Alianna, kejayaan dalam perniagaan memerlukan ketabahan dan sikap tidak mudah berputus asa apabila berdepan sebarang ujian.
“Kalau kita betul-betul mahukan sesuatu, jangan sentiasa mengeluh. Kena sentiasa cuba dan terus cuba. Dalam perniagaan, maklum balas pelanggan sama ada positif atau negatif adalah peluang terbaik untuk kita terus belajar dan memperbaiki diri,” tambahnya. – UTUSAN










