PETALING JAYA: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mewartakan sembilan produk dan bahan binaan tambahan melibatkan 22 standard di bawah Jadual Keempat, Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520).
CIDB berkata, pewartaan tersebut adalah sebagai langkah memperkukuh kualiti dan keselamatan produk dan bahan binaan yang digunakan dalam industri pembinaan negara.
Katanya, sembilan produk binaan tambahan tersebut merangkumi tiga produk dalam kategori besi dan keluli, dua produk konkrit, tiga produk gentian dan komposit serta satu produk kaca.
“Perintah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Pindaan Jadual Keempat) 2026 telah diwartakan dan mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2026.
“Dengan pindaan ini, sebanyak 102 produk dan bahan binaan merangkumi 11 kategori kini disenaraikan di bawah Jadual Keempat Akta 520,” katanya dalam kenyataan.
Walaupun pindaan Jadual Keempat telah berkuat kuasa pada 1 Ogos 2026, CIDB memberi tempoh peralihan selama enam bulan, dengan penguatkuasaan terhadap keperluan yang dipinda bermula pada Februari 2027.
Lembaga berkata, tempoh ini memberi ruang kepada industri untuk memahami keperluan tambahan, membuat semakan terhadap produk masing-masing serta mendapatkan perakuan yang diperlukan.
Selain itu, CIDB berkata, 14 standard ini turut ditambah selaras dengan produk yang telah sedia tersenarai di bawah Jadual Keempat 2021, manakala enam standard dikeluarkan kerana tidak lagi relevan.
“Pindaan ini memberi implikasi secara langsung kepada pihak yang mengilang, mengimport, mengeksport, membekal, memasarkan, menjual, membeli atau menggunakan produk dan bahan binaan yang disenaraikan di bawah Jadual Keempat.
“Penggiat industri perlu menyemak senarai Jadual Keempat yang terkini bagi mengenal pasti sama ada produk atau bahan binaan yang dikendalikan terlibat dengan penambahan atau perubahan standard.
“Bagi produk yang tertakluk kepada keperluan tersebut, pihak industri perlu memastikan produk berkenaan mematuhi standard yang ditetapkan dan mendapatkan Perakuan Pematuhan Standard (PPS) daripada CIDB sebelum penguatkuasaan bermula,” jelasnya.
CIDB berkata, langkah ini penting kerana kualiti dan prestasi bahan binaan mempunyai kesan langsung terhadap kualiti, ketahanan dan keselamatan sesuatu kerja pembinaan.
Menurutnya, pematuhan kepada standard yang ditetapkan juga dapat mengurangkan risiko penggunaan bahan binaan yang tidak memenuhi spesifikasi serta membantu melindungi keselamatan pekerja binaan dan orang awam.
“Pindaan ini turut menyokong Teras Strategik 1: Kualiti, Keselamatan & Kesihatan di bawah Pelan Tindakan Pembinaan 2026–2030 (CAP30), yang memberi penekanan kepada peningkatan standard kualiti pembinaan melalui inovasi, pematuhan dan kompetensi.
“CIDB akan mengeluarkan surat pekeliling kepada pihak industri yang berkaitan mengenai pindaan tersebut. Penggiat industri disarankan menggunakan tempoh peralihan yang diberikan untuk memastikan produk dan bahan binaan masing-masing memenuhi semua keperluan sebelum penguatkuasaan bermula.
“Mana-mana pihak yang didapati bersalah berurusan dengan produk dan bahan binaan yang tersenarai dalam Jadual Keempat tanpa perakuan CIDB yang diperlukan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM500,000,” ujarnya.
Tambahnya, penggiat industri yang perlu mendapatkan Perakuan Pematuhan Standard (PPS) boleh mengemukakan permohonan melalui platform Certification of Construction Product & Material (CCPM) CIDB di https://ccpm.cidb.gov.my. – UTUSAN










