Pengecas EV jenama e.MAS dilancar pada suku ketiga

ZHANG Qiang (tengah) pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik bagi memperkenalkan stesen pengecasan berjenama e.MAS di seluruh negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET) bekerjasama dengan pengendali titik pengecasan (CPO) kenderaan elektrik (EV) utama iaitu DC Handal, JomCharge dan chargEV bagi memperkenalkan stesen pengecasan berjenama e.MAS di seluruh negara.

Pelaksanaan stesen pengecasan berjenama e.MAS dijadualkan bermula pada suku ketiga 2026 di lokasi tumpuan sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, kerjasama tersebut mengukuhkan kekuatan PRO-NET, rakan pengecasan dan ekosistem digital e.MAS untuk memberikan pengalaman yang lebih lancar kepada pelanggan, sambil menyokong pertumbuhan penggunaan EV di Malaysia

“Apabila semakin ramai rakyat Malaysia memilih kenderaan elektrik, akses kepada kemudahan pengecasan yang mudah dan mudah diperoleh akan menjadi semakin penting dalam pengalaman pemilikan.

“Melalui kerjasama dengan CPO utama, kami mahu menjadikan pengecasan lebih mudah dan memberikan lebih banyak manfaat kepada pemilik e.MAS, khususnya apabila mereka mengecas di lokasi-lokasi utama,” katanya dalam kenyataan.

Inisiatif itu akan memberi tumpuan kepada lokasi awam yang strategik dan mempunyai jumlah kunjungan yang tinggi, sekali gus membawa pengalaman pengecasan e.MAS ke lokasi yang sering dikunjungi dan menjadi pusat tumpuan pelanggan.

Pemilik e.MAS yang membuat bayaran melalui aplikasi Proton e.MAS turut dapat menikmati kadar pengecasan istimewa di stesen pengecasan yang terlibat, memberikan nilai yang lebih baik ketika mengecas kenderaan mereka.

Lebih 4,700 titik pengecasan yang meliputi lebih 90 peratus kawasan di Malaysia kini boleh diakses melalui aplikasi Proton e.MAS, dilengkapi dengan Peta Pengecasan Langsung yang tersedia dalam kenderaan e.MAS.

Menurutnya, kerjasama strategik bersama CPO utama ini merupakan langkah seterusnya dalam memperluas ekosistem Proton e.MAS serta membawa pengalaman pengecasan jenama ini ke lebih banyak lokasi awam.

“Inisiatif ini merupakan langkah proaktif dalam usaha PRO-NET untuk bekerjasama dengan rakan industri bagi menyokong perkembangan akses kepada kemudahan pengecasan
EV di Malaysia,” jelasnya.

Melalui kerjasama ini, PRO-NET akan menyokong CPO yang terlibat dalam memperluas infrastruktur pengecasan, sekali gus menyediakan lebih banyak kemudahan pengecasan kepada pengguna EV serta memperkukuh kehadiran jenama e.MAS di stesen pengecasan yang terlibat.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Pengecasan PRO-NET, Ahmad Munif Halim berkata, gabungan akses pengecasan melalui aplikasi Proton e.MAS memberi syarikat peluang untuk menjadikan pengalaman pengecasan lebih mudah dan memberikan lebih manfaat kepada pemilik e.MAS.

“Melalui kerjasama dengan CPO yang berpengalaman, kami dapat memudahkan urusan pengecasan sambil memberikan pelanggan akses kepada sokongan sedia ada sekiranya bantuan diperlukan.

“Kesemua usaha ini membantu kami mewujudkan pengalaman pengecasan yang lebih baik untuk pemilik e.MAS,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN