PETALING JAYA: Permintaan buruh Malaysia berkembang 1.7 peratus pada suku kedua 2026, dengan jumlah 9.25 juta jawatan, mengikut Statistik Guna Tenaga, Suku Tahun Kedua 2026 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM berkata, penjajaran semula rantaian bekalan dan tekanan kos, jumlah jawatan meningkat 1.7 peratus, dengan pertambahan 152,300 jawatan berbanding 9.10 juta jawatan pada suku kedua tahun sebelumya.
Katanya, daripada jumlah keseluruhan jawatan tersebut, 97.9 peratus telah diisi, manakala baki 2.1 peratus merupakan kekosongan jawatan, di samping itu 31,500 jawatan telah diwujudkan pada suku tahun ini.
“Bilangan jawatan diisi mengekalkan trend peningkatan, mencecah 9.05 juta, peningkatan 1.7 peratus tahun ke tahun berbanding 8.9 juta pada suku kedua 2025.
“Pertumbuhan ini disokong oleh prestasi positif di semua sektor, yang didahului oleh sektor perkhidmatan dengan kadar pertumbuhan sebanyak 2.4 peratus,” katanya dalam kenyataan.
DOSM berkata, sektor perkhidmatan terus merangkumi sumbangan terbesar bagi jawatan diisi iaitu 53.4 peratus atau 4.83 juta jawatan, diikuti oleh sektor pembuatan pada 26.7 peratus (2.42 juta) dan sektor pembinaan pada 13.8 peratus (1.25 juta).
Mengikut kategori kemahiran, DOSM berkata, majoriti jawatan diisi adalah dalam kategori separuh mahir yang merangkumi 62.2 peratus atau 5.63 juta jawatan.
“Ini diikuti oleh kategori mahir pada 25.4 peratus (2.30 juta), manakala kategori berkemahiran rendah merekodkan sumbangan terkecil iaitu 12.4 peratus (1.13 juta).
“Kekosongan jawatan di Malaysia adalah sebanyak 195.7 ribu pada suku kedua 2026, meningkat secara marginal dengan 0.4 peratus tahun ke tahun daripada 194,900 pada suku sama tahun lalu,” ujarnya.
Tambahnya, sektor pembuatan kekal dominan dalam komposisi mengikut sektor ekonomi, dengan menawarkan bilangan kekosongan tertinggi sebanyak 114,000 (58.3 peratus), terutamanya dalam subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal (35,100) serta subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (19,100).
Jelasnya, ini diikuti oleh sektor pertanian dengan 30,400 kekosongan (15.5 peratus) dan sektor pembinaan dengan 26,500 kekosongan (13.5 peratus).
“Pecahan mengikut kategori kemahiran menunjukkan majoriti kekosongan disumbangkan oleh kategori separuh mahir dengan peratusan sumbangan sebanyak 54.8 peratus (107,300).
“Kategori mahir dan berkemahiran rendah masing-masing mengikuti dengan 25.7 peratus (50,200) dan 19.5 peratus (38,200). Beralih kepada prestasi pewujudan jawatan, sejumlah 31,500 jawatan telah diwujudkan pada suku kedua 2026, mencatatkan penurunan sederhana tahun ke tahun sebanyak 1.2 peratus.
“Mengikut aktiviti ekonomi, pewujudan jawatan tertumpu dalam sektor perkhidmatan dengan sejumlah 14,400 jawatan baharu (45.7 peratus), yang dipacu terutamanya oleh subsektor perdagangan borong dan runcit (8,600),” jelasnya.
Sementara itu, DOSM berkata, secara keseluruhan, prestasi permintaan buruh Malaysia pada suku tinjauan menunjukkan bahawa ekonomi negara kekal berdaya tahan, dengan sektor perniagaan terus menyerap tenaga buruh. – UTUSAN










