PKS perlu perkukuh disiplin kewangan, manfaat aset tidak ketara

PROF M.Nazri Muhd
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memperkukuh disiplin kewangan serta memanfaatkan aset tidak ketara bagi meningkatkan daya tahan perniagaan, khususnya ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi dan risiko kemerosotan jualan.

Ketua arkitek dan penasihat AI, AI & Design-Thinking (AIDT) Lab, KSI Strategic Institute for Asia Pacific, Prof. M. Nazri Muhd. berkata, PKS di Malaysia perlu memperkukuh daya tahan kewangan serta meningkatkan pelaburan dalam inovasi bagi menghadapi kejutan ekonomi yang berulang.

Katanya, berdasarkan kajian melibatkan kira-kira 120,000 perusahaan awam dan swasta di seluruh Asia, antara 77 hingga 80 peratus daripada kunci kira-kira sesebuah perusahaan secara purata terikat dalam aset bukan tunai seperti inventori dan akaun belum terima.

Katanya, pada masa sama, margin keuntungan bersih kebanyakan perusahaan secara umumnya berada di bawah 10 peratus.

“Tekanan yang dihadapi bukan kerana mereka terlalu konservatif, tetapi kerana mereka tidak mendapat akses kepada pembiayaan,” katanya dalam sesi forum bertajuk “Pilihan Sukar Asia, Mengurus Risiko Geoekonomi dan Geopolitik” sempena Sidang Kemuncak Ekonomi dan Keusahawanan Asia 2026 di sini hari ini.

Antara isu yang dibincangkan termasuk perpecahan blok perdagangan, kejutan tenaga dan komoditi serta ketidaktentuan aliran modal yang boleh mempengaruhi keputusan pelaburan, kos perniagaan, rantaian bekalan dan pertumbuhan ekonomi.

Panel yang terlibat ialah Pengerusi ASEAN India Economic Council (AIEC) dan Pengasas serta Pengerusi Goldtex Group, Malaysia, Datuk Ramesh Kodammal,Ketua Pegawai Eksekutif Asia-Pacific Economics, Rajiv Biswas,  Profesor Pengajian ASEAN di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).Prof. Dr. Phar Kim Beng serta Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan. 

Menurut M. Nazri, penurunan jualan sebanyak 10 peratus boleh menyebabkan kira-kira 30 peratus syarikat mencatatkan kerugian, manakala kemerosotan sebanyak 30 peratus pula boleh menyaksikan antara 50 hingga 60 peratus syarikat mengalami kerugian dan kira-kira 70 peratus berdepan masalah aliran tunai.

Sementara itu, penurunan jualan sebanyak 50 peratus akan menyebabkan hampir semua perniagaan mengalami kerugian serta tekanan aliran tunai yang serius.

“Kita memerlukan pandangan jauh. Kita memerlukan perancangan senario,” katanya.

Nazri berkata, PKS perlu menjalankan pemeriksaan kesihatan kewangan secara berkala, mengurus kecairan dan tahap hutang, menilai semula keperluan pembiayaan serta mempertimbangkan penstrukturan semula perniagaan, perancangan penggantian kepimpinan dan langkah lain bagi memperkukuh kedudukan kewangan syarikat.

Jelasnya, terdapat sembilan bidang yang perlu diberi perhatian oleh PKS, termasuk pemeriksaan kesihatan kewangan, pengurusan aliran pendapatan dan perbelanjaan, pengurusan bekalan, jualan, sumber pembiayaan, pemulihan perniagaan serta pembangunan.

Dalam pada itu, beliau berkata, inovasi perlu dilihat bukan sekadar dari sudut teknologi baharu, tetapi turut merangkumi usaha mengenal pasti dan membangunkan nilai aset tidak ketara sesebuah perniagaan.

“Aset tidak ketara termasuk jenama, harta intelek, paten, pengalaman, hubungan dengan pelanggan, metodologi, sistem dan pengetahuan yang dimiliki sesebuah perusahaan.

“Jika diurus dengan baik, aset ini boleh membantu meningkatkan nilai perusahaan dan membuka peluang kepada pembiayaan, pelaburan serta pengembangan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, sesuatu aset tidak ketara perlu memenuhi beberapa ciri utama, antaranya dimiliki atau dikawal oleh perusahaan, boleh dipindahkan atau dilesenkan dan mempunyai potensi menghasilkan manfaat ekonomi pada masa depan.

Katanya, penilaian terhadap aset berkenaan juga perlu mengambil kira keupayaannya menjana pendapatan pada masa depan melalui unjuran kewangan yang munasabah.

“Ini bukan semata-mata mengenai menunjukkan nilai di atas kertas, tetapi bagaimana nilai tersebut boleh digunakan untuk memperkukuh keuntungan dan meningkatkan nilai keseluruhan perusahaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa disiplin kewangan dan inovasi bukan dua pendekatan yang berasingan, sebaliknya perlu dilaksanakan secara serentak bagi membina daya tahan perniagaan.

“Pemilik perniagaan perlu memahami kedudukan aset tidak ketara mereka dan mengurus disiplin kewangan secara menyeluruh, tanpa mengira sektor atau tahap kitaran perniagaan.

“Gabungan kedua-duanya akan membantu perusahaan lebih bersedia menghadapi krisis serta mewujudkan nilai baharu untuk pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata, sebagai contoh, institusi pendidikan boleh mengubah metodologi pengajaran, sistem pengurusan pembelajaran, kandungan kursus dan kaedah penilaian kepada aset tidak ketara yang mempunyai nilai komersial.

Tambahnya, pendekatan sama boleh diterapkan oleh PKS dalam sektor lain dengan mengenal pasti pengetahuan, sistem, proses dan harta intelek yang mampu menjana manfaat ekonomi pada masa depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN