PNBMV sasar perkasa komuniti sekitar presint Merdeka 118

IZWAN Hasli Mohd Ibrahim ketika berucap semasa majlis pelancaran filem pendek pertama PNBMV di Park Hyatt Kuala Lumpur, Menara Merdeka Maybank, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. (PNBMV) menyasarkan pembangunan presint Merdeka 118 bergerak seiring dengan usaha memperkasakan kawasan kejiranan dan komuniti peniaga tempatan di sekitar tapak bersejarah berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim berkata, peranan syarikat sebagai pemegang amanah kawasan perisytiharan kemerdekaan negara itu memerlukan pendekatan yang memastikan penduduk serta perniagaan setempat turut menerima limpahan ekonomi dan sosial.

“Usaha kami untuk menjadikan Merdeka 118 sebagai presint bertaraf dunia tetap berlandaskan komuniti yang menghuni dan mentakrifkan tempat bersejarah ini.

“Kami mahukan setiap individu, perniagaan tempatan dan kawasan kejiranan di sekitar untuk berkembang maju bersama-sama,” katanya semasa majlis pelancaran filem pendek itu di sini, semalam.

Sejajar dengan komitmen penglibatan komuniti itu, presint Merdeka 118 bekerjasama dengan LOCCO untuk menganjurkan sambutan tiga hari bermula 29 hingga 31 Ogos ini di Stadium Merdeka dan Merdeka Boulevard.

Inisiatif tersebut merangkumi penganjuran Bazar Komuniti Merdeka, aktiviti kebudayaan serta Warisan KL Explorace bagi menggalakkan interaksi awam dan menyokong aktiviti perniagaan kecil di kawasan sekitar.

Selain itu, kemudahan warisan tempatan seperti Muzium Tekstil Merdeka (MTM) yang menempatkan khazanah tekstil Dunia Melayu turut dibuka secara percuma kepada awam menerusi tempahan dalam talian sehingga 30 September depan.

Bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan, PNBMV turut melancarkan filem pendek pertamanya bertajuk ‘GAPAI’ yang mengimbau detik Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan kemerdekaan pada 1957.

Filem berdurasi tiga minit terbitan syarikat tempatan Twentyoneseventeen bersama agensi kreatif M&C Saatchi Karsa Malaysia itu memaparkan hubung kait nilai kemerdekaan dengan kehidupan masyarakat hari ini.

Fasiliti awam dan perbandaran presint Merdeka 118 dijangka terus dilengkapi secara berperingkat menerusi pembukaan pusat membeli-belah 118 Mall dan dek pemerhatian The View at 118 dalam masa terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN