Batang kayu hangus tiada dalam rekaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Batang kayu hangus yang kelihatan seolah-olah menikam tubuh Aina Abdul pada busana digayakannya di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) bukan sebahagian daripada rekaan asal.

Sebaliknya, ia ditambah kemudian selepas mengambil kira maksud lagu yang dipersembahkan penyanyi berkenaan, khususnya unsur pengkhianatan dan kemarahan yang terkandung di dalamnya.

Pereka fesyen, Melinda Looi berkata, selain menepati maksud lagu ‘Kamu’, penambahan itu juga selari dengan konsep gunung berapi yang bangkit, membara dan akhirnya meletus.

“Walaupun sudah banyak menghasilkan busana dramatik untuk Aina, rekaan kali ini antara yang paling mencabar.

“Ia memerlukan banyak perincian kerana saya mahu menterjemahkan idea arang, api, transformasi dan tenaga membara ke dalam busana, sambil memastikan Aina dapat membuat persembahan dengan selesa serta selamat di atas pentas,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Katanya, busana itu mengambil masa kira-kira 1,000 jam untuk disiapkan bermula daripada pembangunan konsep, eksperimen bahan, pembinaan, fitting sehingga perincian akhir.

Malah, Melinda turut menggabungkan pelbagai material dan teknik untuk menghasilkan tekstur serta struktur yang diinspirasikan daripada batuan gunung berapi, lava cair dan serpihan mineral berkilauan.

Antara material itu ialah 5 kilogram arang, 6,000 elemen Swarovski, kain berjaring labuci, kain poliester Lurex metalik, kapas, gam lateks, cat akrilik dan stirofoam.

Bahan lain termasuk 80 meter rumbai nilon, 60 meter rumbai manik kaca, campuran manik serta labuci kaca dan akrilik.

“Busana ini sememangnya lebih berat berbanding busana pentas biasa, dengan anggaran mencecah 30 kilogram.

“Kali pertama melihatnya, Aina sangat teruja dan terus memahami watak serta cerita di sebaliknya.

“Bagi saya, busana hanya benar-benar lengkap apabila pemakainya dapat menghidupkan rekaan itu, dan Aina mempunyai keupayaan mampu untuk menghayati konsep yang kuat serta dramatik,” katanya yang menggabungkan fesyen, seni arca, material eksperimental dan persembahan pentas dalam satu karya.

Arang dirawat, tumbuk sebelum dipasang

Bahagian paling mencabar ialah penggunaan arang kerana Melinda mahu ia kelihatan seperti muncul secara semula jadi dari dalam busana.

Katanya, arang perlu dirawat, ditumbuk dan dicampur dengan gam lateks dahulu supaya bercantum sebelum dipasang pada struktur asas busana yang menggunakan labuci.

Bahagian arang yang lebih besar dibuat secara berasingan supaya bentuk dan teksturnya sesuai serta selamat digunakan.

“Arang itu kemudian dipasang kukuh pada struktur busana dan bahagian berkenaan turut duji ketika Aina bergerak dan berlatih bagi memastikan ia kekal di kedudukannya.

“Aspek keselamatan sentiasa diberi keutamaan kerana Aina perlu bergerak, menari dan membuat persembahan di atas pentas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN