Seni jalanan artis grafiti dan ilustrator tempatan, Cloakwork atau nama sebenarnya Loo Lok Chern, 35, kini diterjemahkan ke dalam fesyen menerusi koleksi SkechVibe bersama Skechers.
Koleksi itu menampilkan empat rekaan baju T dan satu beg tote edisi terhad, dengan karakter ekspresif, warna terang serta elemen jalanan yang menjadi identitinya.
Istimewanya, ia turut menampilkan perincian kecil yang mencuit hati di samping penghargaan kepada budaya tempatan.
Contohnya, karakter lelaki bersantai di buaian di tepi pantai sambil menikmati teh ais bungkus ikat tepi, selain motif skuter yang menggambarkan suasana kehidupan jalanan.
Cloakwork berkata, elemen berkenaan merupakan penghormatan kecil kepada budaya Malaysia dan pengalaman membesar di tengah bandar raya Kuala Lumpur.
“Melalui rekaan itu, saya mahu mengingatkan orang ramai supaya memperlahankan langkah dan meluangkan masa menikmati alam walaupun seketika.
“Daripada suasana santai itu, koleksi ini kembali kepada elemen jalanan yang banyak mempengaruhi gaya seni saya, termasuk dinding bata, tin semburan cat, boombox, selain sentuhan muzik dan Y2K,” katanya baru-baru ini.
Katanya, pengalaman menghasilkan rekaan pakaian berbeza daripada mural kerana ruang yang lebih kecil dan terhad.
Jadi, dia perlu memikirkan bagaimana karya itu kelihatan apabila dipakai dan bergerak.
“Walaupun mencabar, proses ini memberi saya peluang meneroka cara baharu menyampaikan cerita melalui seni, sambil mengekalkan identiti dan unsur ceria.
“Saya berharap koleksi ini dapat memperkenalkan seni jalanan kepada golongan muda sekali gus menggalakkan mereka menghargai dan menyokong artis tempatan,” katanya.










