MACAM-MACAM cara orang buat untuk menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan. Masing-masing ada cara dan keunikan tersendiri.
Begitu juga butik Donnicha tampil dengan koleksi baju-T jenama Santai memaparkan tempat-tempat menarik yang jarang-jarang dipromosikan kepada pelancong. Sebagai permulaan, tiga lokasi dalam daerah Hulu Langat di Selangor menjadi pilihan perekanya, Faeeza Jaafar.
Kenapa Hulu Langat? Persoalan tersebut bermain-main dalam kepala saya, kenapa daerah itu dipilih sebagai tema baju-T keluaran butik berkenaan.
Hulu Langat bukannya terkenal dalam kalangan pelancong apatah lagi dari luar negara. Tiada bangunan ikonik, tiada mercu tanda hebat yang boleh dibanggakan.
Namun bagi Faeeza, daerah itu cukup istimewa buatnya. Ini kerana dia dilahirkan di Kajang dan dibesarkan di Semenyih dalam daerah berkenaan.
Banyak kenangan manis masih diingatnya sewaktu berkelah di sungai dan air terjun bersama keluarga pada hujung minggu. Juga mendaki bukit menikmati keindahan alam semula jadi umpama taman permainannya.
Justeru, dia memilih Stadium Kajang, Sungai Congkak dan Bukit Broga yang kesemuanya dalam daerah Hulu Langat menghiasi koleksi Santai sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tidak lama lagi. Ketiga-tiga tempat itu bukan sahaja menyimpan 1,001 kenangan manis, malah membuka mata serta mindanya tentang erti ‘halaman’ sendiri dan menghargainya.

“Lebih senang untuk saya cerita tentang ‘rumah’ sendiri, halaman sendiri daripada nak cerita pasal lokasi pelancongan lain yang sudah cukup dikenali,” jelasnya yang juga pemilik butik Donnicha kepada Utusan Malaysia di Semenyih, baru-baru ini.
Baginya, dia lebih bangga untuk memperkenalkan tempat-tempat sedemikian kepada pelancong asing kerana kebanyakan mereka terlalu didedahkan pada Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau
Melaka. Sedangkan banyak lagi tarikan yang tidak diketengahkan kepada pelancong.
“Lagipun dari sini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam 35 minit saja. Apa kata kita promosi tempat ini?
“Pelancong asing semasa tiba atau sebelum pulang boleh singgah satu, dua hari dulu dan terokai tempat-tempat menarik di sini. Sekurang-kurangnya boleh bantu ekonomi orang tempatan,” ujarnya.
Menurutnya, projek reka bentuk baju-T itu baru sahaja dilancarkan pada 1 Ogos lalu. Pada hari pertama pelancaran, sebanyak 25 helai ditempah dan jumlahnya bertambah dari hari ke hari.
Selepas ini katanya, ada lagi keluaran Santai untuk daerah-daerah lain pula. Maka pastinya lebih banyak lagi cerita-cerita menarik dari daerah masing-masing yang boleh dihebahkan kepada umum.
Selain itu, Donnicha turut memperkenalkan baju-T dinamakan Nusa Bangsa yang mengetengahkan elemen kebudayaan tiga kaum utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India. Corak batik mewakili ketiga-tiga kaum itu menghiasi bahagian depannya.

“Nusa Bangsa bukan koleksi pakaian ikut kaum tapi bagaimana kita menghargai perpaduan kepelbagaian kaum serta etnik yang membentuk kehidupan seharian rakyat Malaysia,” kata Faeeza.
Katanya, sudah tiba masa corak batik tidak lagi dipakai untuk acara-acara rasmi atau korporat semata-mata sebaliknya dalam gaya santai. Baginya, batik bukan lagi sekadar dipakai ke majlis kenduri kahwin atau jumpa orang kenamaan (VIP) tapi bagi mencetuskan tanggapan atau gambaran budaya kepada sesiapa yang melihat coraknya.
“Apa kata kita pakaikan kanak-kanak dengan batik setiap hari?
“Bukan setakat dipakai, tapi kita mahu wujudkan jati diri rakyat Malaysia,” jelasnya.
Untuk si cilik tidak dilupakan, ada juga baju-T untuk mereka. Dinamakan Hikayat di mana hikayat haiwan cerdik, Sang Kancil menjadi hiasan pada bahagian depan dan belakang pakaian.
Ada tiga kisah rakyat mengenai Sang Kancil bersama harimau, buaya dan kerbau yang diceritakan oleh nenek moyang dahulu sehingga hari ini.
“Kisah-kisah kancil cerdik ini memperdayakan haiwan-haiwan yang lebih besar untuk kelangsungan hidup tidak jemu-jemu diceritakan kepada kanak-kanak sehingga kini.
“Banyak iktibar dan pengajaran yang boleh kita jadikan pedoman daripada cerita-cerita tersebut,” kata Faeeza.

Katanya, berikutan permintaan tinggi daripada pelanggan, Hikayat turut dikeluarkan untuk saiz orang dewasa.
Setiap keluaran baju-T diperbuat daripada kain kapas ini dijual pada harga RM119 sehelai. Sempena Hari Kebangsaan dan bulan kemerdekaan, harga istimewa ditawarkan iaitu tiga helai RM299.
Mereka yang ingin membuat tempahan boleh hubungi Faeeza di talian 012-6313354 atau emel [email protected] atau Instagram @stailbydonnicha.










