Pentas KLFW jadi galeri seni hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagaimana jika sebuah lukisan meninggalkan kanvas dan berubah menjadi busana?

Itulah pengalaman yang dibawa Hatta Dolmat pada pentas penutup Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2026 apabila 10 karya lukisan asli dipamerkan bersama 10 rekaan adibusana (couture) yang diinspirasikan daripadanya.

Tetamu bukan sahaja melihat lukisan di atas kanvas, sebaliknya dapat menyaksikan karya sama ‘berjalan’ di hadapan mereka apabila diperagakan model.

Warna, bentuk, tekstur dan sapuan pada lukisan diterjemahkan ke dalam setiap helaian, menjadikan pentas peragaan seolah-olah galeri seni yang hidup.

Menerusi koleksi Soul, Hatta menggabungkan seni lukisan dan fesyen dalam satu persembahan yang unik.

“Saya mula melukis sejak kecil tetapi kali ini, lukisan itu tidak lagi kekal di atas kanvas, malah berjalan di pentas peragaan.

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha saya meneroka dunia couture di luar batas tradisional, selain mencari cara baharu untuk menyampaikan cerita menerusi pakaian.

“Bagi saya couture bukan hanya tentang apa yang dipakai, tetapi juga yang dilihat, dirasai dan diingati,” katanya baru-baru ini.

Lebih manis, usaha Hatta turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi gandingan couture-karya lukisan terbanyak dalam satu pentas peragaan.

Sebelum ini, rekod pertamanya diraih pada 2021 sebagai pereka pertama di Malaysia menghasilkan koleksi fesyen lestari, manakala yang kedua pada 2025 menerusi rekaan adibusana diperbuat daripada kek.

Guna pelbagai medium, teknik berbeza

Proses menterjemahkan karya seni kepada adibusana bukan sesuatu yang mudah kerana setiap satunya memerlukan teknik dan pendekatan berbeza.

Cabaran terbesarnya adalah memastikan hasil rekaan kekal pada pakaian dan selari dengan karya asal apabila dipamerkan bersama.

Justeru, Hatta menggunakan pelbagai medium termasuk cat akrilik, dawai, pasir, plaster Paris, bulu dan semburan, selain bahan lain berkaitan seni serta fesyen.

“Kalau guna akrilik sahaja, lima atau enam lapisan pun belum tentu cukup untuk mendapatkan tekstur yang dimahukan.

“Jadi, saya campurkan medium lain untuk menghasilkan kesan sapuan berus yang lebih tebal dan jelas pada busana ketika diperagakan.

“Selain teknik mewarna, saya juga bereksperimen dengan pintalan dawai, gulungan velvet dan jalinan brass bagi membentuk struktur serta ekspresi pada busana.

“Paling mencabar sebenarnya adalah untuk menghasilkan lukisan kerana ia memerlukan mood dan penjiwaan, berbeza dengan pembuatan pakaian yang boleh dilakukan pada bila-bila masa,” katanya.

Antara rekaan dalam koleksi SOUL ialah gaun malam klasik rona merah delima dan hitam, gaun berinspirasikan bunga orkid serta jaket besar yang dihiasi lakaran grafik secara buatan tangan.

Turut ditampilkan couture hitam matte berhiaskan permata secara asimetri, gaun kembang yang dilukis tangan di samping gaun bulu rona biru serta gaun kuning ombre

“Bagi gaun orkid, beratnya dianggarkan antara 15 hingga 20 kilogram kerana saya menggunakan banyak net dari bahagian lutut ke bawah untuk membentuk struktur kembang.

“Perincian bunganya pula dihasilkan menggunakan span yang dipanaskan sebelum digunting membentuk orkid.

“Saya memilih orkid kerana bunga itu merupakan kegemaran ibu saya dan sejak kecil, saya melihat ibu menjaga pelbagai jenis spesis fauna tersebut,” katanya.

Lerai, ‘buah hati’  Zaimi Zulkafli

Genap 10 tahun dalam industri fesyen, Zaimi Zulkafli menjadikan koleksi Lerai sebagai cerminan perjalanan yang dilaluinya.

Koleksi itu tercetus daripada pengalaman berdepan kekecewaan, pengkhianatan dan perpisahan, sebelum segala rasa tersebut diterjemahkan ke dalam rekaan.

Menariknya, buah-buahan tempatan seperti manggis, jantung pisang dan rambutan turut diketengahkan sebagai simbolik kepada ‘buah hati’ yang banyak menyokong perkembangan jenamanya.

“Orang tahu kita memang berfalsafah tinggi dalam setiap helaian, jadi, untuk perincian koleksi ini kita menampilkan elemen Malaysia termasuk buah-buahan tempatan.

“Antara rekaan yang ditampilkan ialah skirt bermotif dedaun rona biru kelabu asap yang dipadankan dengan kebaya setengah tiang rona merah darah ikan, lengkap dengan jahitan benang logam menggunakan teknik kelingkan,” katanya yang bekerjasama dengan Moccona dalam pertunjukan fesyen itu.

Kata Zaimi, permainan warna pula masih berpaksikan pastel, namun diberi nafas baharu menerusi rona lebih berani seperti coklat manakala corak yang digunakan turut dipengaruhi pengalamannya ketika berada di Paris.

Pengarah kreatif jenama tersebut, Hana Halim berkata, walaupun bereksperimen dengan bentuk dan perincian, aspek kesopanan dan longgar kekal menjadi pegangan mereka dalam menghasilkan busana.

Warna terang, inspirasi Joan Miro

Jenama fesyen tempatan, Maglifestyle memperkenalkan koleksi Harlequin Carnival yang diinspirasikan daripada karya ikonik pelukis Sepanyol, Joan Miró.

Koleksi itu membawa mesej tentang kebebasan berekspresi, keberanian tampil berbeza dan keyakinan meraikan identiti diri.

Perekanya, Wong Yen Lee berkata, antara keistimewaan koleksi kali ini ialah penggunaan warna-warna terang, teknik tenunan teliti dan fabrik berkualiti tinggi.

“Selain itu, potongannya juga sedikit berstruktur seperti bentuk pasu, di samping menampilkan siluet jam pasir bagi menghasilkan helaian yang menyerlah sebagai statement pieces,” katanya.

Seorang lagi perekanya, Wong Shiau Lee berkata, penyertaan di KLFW 2026 menjadi platform penting buat Maglifestyle untuk terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama pakaian siap (RTW) tempatan.

Sisi lembut, maskulin wanita

Sepanjang KLFW 2026, langkah model yang memperagakan koleksi busana wanita dilengkapkan dengan kasut rekaan jenama tempatan, Tricia Lew menerusi koleksi Paradox.

Pengasasnya, Tricia Lew berkata, setiap rekaan menggabungkan siluet anggun dengan struktur lebih tegas, sekali gus mudah digayakan bersama pelbagai busana.

“Pelantikan kami sebagai jenama kasut rasmi busana wanita KLFW merupakan satu penghormatan yang amat bermakna buat Tricia Lew.

“Menerusi Paradox, kami mahu menyokong setiap visi pereka sambil mengetengahkan perspektif dan identiti jenama ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN