Penyusuan bukan bermula selepas bayi lahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penyusuan susu ibu bukan sekadar bermula selepas bayi dilahirkan, sebaliknya persediaan perlu dilakukan sejak tempoh kehamilan bagi memastikan ibu dan keluarga lebih bersedia menghadapi cabaran selepas bersalin.

Walaupun kebanyakan bakal ibu memberi tumpuan kepada persediaan melahirkan anak seperti menghadiri pemeriksaan antenatal, menjalani imbasan dan menyediakan pelan kelahiran, aspek penyusuan susu ibu sering dianggap sebagai perkara yang hanya perlu diberi perhatian selepas bayi dilahirkan.

Ketua Pembelajaran dan Pengajaran, Sekolah Perubatan, Fakulti Kesihatan dan Sains Perubatan, Taylor’s University, Prof. Madya Dr. Khine Pwint Phyu berkata, tempoh kehamilan ialah masa terbaik untuk ibu dan keluarga mendapatkan pengetahuan serta membina persediaan berkaitan penyusuan susu ibu.

Menurutnya, tanggapan penyusuan akan berlaku secara semula jadi sebaik sahaja bayi dilahirkan menyebabkan persediaan mengenainya sering dipandang ringan.

“Ramai ibu bersungguh-sungguh membuat persediaan untuk proses kelahiran termasuk menghadiri janji temu antenatal, menjalani imbasan, menyediakan beg ke hospital dan merancang pelan kelahiran.

“Namun, perhatian yang sama jarang diberikan kepada persediaan menyusukan bayi kerana ia sering dianggap sebagai sesuatu yang akan berlaku secara semula jadi selepas bersalin,” katanya.

Beliau berkata, penyusuan susu ibu merupakan kemahiran yang perlu dipelajari oleh ibu dan bayi, justeru ia memerlukan kesabaran, latihan serta bimbingan.

Pengetahuan yang diperoleh ketika hamil mungkin tidak dapat mengelakkan semua cabaran penyusuan, namun dapat membantu meningkatkan keyakinan ibu untuk menghadapinya.

Khine Pwint Phyu

Bersedia sebelum kelahiran
Dr. Pwint Phyu berkata, pendidikan mengenai penyusuan susu ibu sejak tempoh kehamilan penting bagi membantu ibu dan keluarga memahami perkara yang bakal dihadapi.

Perbincangan bersama petugas kesihatan boleh merangkumi kepentingan sentuhan kulit ke kulit selepas kelahiran, memulakan penyusuan dalam tempoh sejam pertama jika keadaan ibu dan bayi mengizinkan serta amalan bayi bersama ibu.

“Persediaan juga meliputi cara mengenal pasti tanda-tanda bayi mahu menyusu, kaedah memerah dan menyimpan susu ibu dengan selamat, serta perancangan untuk meneruskan penyusuan apabila kembali bekerja,” jelasnya.

Tambahnya, sokongan terhadap ibu tidak seharusnya bergantung kepada petugas kesihatan, sebaliknya perlu melibatkan pasangan dan ahli keluarga termasuk datuk serta nenek.

 

Cabaran selepas bersalin
Sementara itu, Ketua Sekolah Perubatan, Fakulti Kesihatan dan Sains Perubatan, Taylor’s University, Prof. Madya Dr. Ganesh Ramachandran berkata, tempoh selepas bersalin merupakan fasa mencabar apabila ibu perlu menyesuaikan diri dengan perubahan fizikal dan emosi, selain menggalas tanggungjawab menjaga bayi yang baru lahir.

Pelbagai cabaran penyusuan boleh muncul dalam tempoh tersebut, termasuk pengeluaran susu yang lambat, kesukaran mendapatkan pelekapan betul serta kebimbangan mengenai bekalan susu.

Sesetengah ibu mungkin mengalami masalah seperti payudara bengkak atau mastitis, iaitu keradangan pada payudara yang biasanya menyebabkan kesakitan, kemerahan, bengkak dan kadangkala demam.

“Jika tidak dirawat, mastitis dalam sesetengah keadaan boleh berkembang menjadi abses payudara yang memerlukan prosedur untuk mengeluarkan nanah,” katanya.

Cabaran selepas bersalin bukan hanya melibatkan aspek fizikal, malah ibu turut berdepan perubahan hormon, gangguan tidur, keletihan dan tekanan emosi yang boleh menambahkan kesukaran dalam proses penyusuan.

Keadaan tersebut bukan sahaja boleh menjejaskan kelancaran penyusuan, malah memberi kesan kepada kesejahteraan ibu, hubungan kekeluargaan serta ikatan antara ibu dengan bayi.

Ganesh Ramachandran

Sokongan bantu ibu teruskan penyusuan
Dr. Ganesh berkata, pendidikan berkaitan penyusuan yang diberikan sejak kehamilan membolehkan ibu memahami cabaran yang mungkin dihadapi dan mengetahui saluran bantuan yang tersedia.

Penjagaan antenatal bukan sahaja penting untuk memantau kesihatan ibu dan bayi, malah menjadi ruang untuk profesional kesihatan memberikan penerangan, menetapkan jangkaan yang realistik serta mengenal pasti faktor yang berpotensi mempengaruhi penyusuan.

“Apabila ibu bapa mengetahui perkara yang boleh dijangka dan siapa yang boleh dihubungi untuk mendapatkan bantuan, mereka lebih bersedia mendapatkan sokongan pada masa yang sesuai berbanding cuba menghadapi setiap cabaran seorang diri.

“Persediaan awal juga membolehkan keluarga mengenali profesional kesihatan, pakar laktasi serta sumber sokongan komuniti yang boleh membantu mereka selepas kelahiran,” jelasnya.

Sokongan terhadap ibu juga perlu diteruskan apabila mereka kembali bekerja selepas tamat tempoh cuti bersalin kerana keadaan itu antara cabaran yang boleh mempengaruhi kelangsungan penyusuan.

Menurutnya, penyediaan bilik penyusuan, kemudahan penyimpanan susu ibu, waktu rehat yang fleksibel untuk mengepam susu serta persekitaran kerja yang mesra keluarga dapat membantu ibu meneruskan penyusuan dengan lebih baik.

 

Beri manfaat kepada ibu, bayi
Penyusuan susu ibu kekal sebagai antara kaedah penting dalam menyokong kesihatan serta tumbesaran bayi, selain memberikan manfaat jangka panjang kepada ibu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan penyusuan susu ibu secara eksklusif sepanjang enam bulan pertama kehidupan sebelum diteruskan bersama makanan pelengkap sehingga usia dua tahun atau lebih.

Susu ibu membekalkan nutrien yang diperlukan bayi, membantu melindungi daripada jangkitan serta menyokong pertumbuhan dan perkembangan yang sihat.

Bagi ibu pula, penyusuan susu ibu dikaitkan dengan pengurangan risiko jangka panjang terhadap kanser payudara dan ovari serta diabetes jenis 2.

Justeru, tempoh kehamilan wajar dimanfaatkan sebagai peluang untuk ibu dan keluarga mendapatkan maklumat, membincangkan pilihan penyusuan serta mengenal pasti bentuk sokongan yang diperlukan.

Dengan ilmu dan sokongan yang dimulakan sejak kehamilan, ibu bukan sahaja lebih bersedia menyusukan bayi, malah lebih yakin menghadapi cabaran yang mungkin timbul selepas kelahiran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN