‘Tanam’ tangan dalam perut bagi selamatkan jari

RJ Nagarajan menunjukkan prostesis tangan yang digunakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bayangkan apabila tapak tangan dan lima jari terpaksa ditanam dalam perut sendiri selama tiga minggu demi menyelamatkan jari jemari yang hanya tinggal tulang akibat kecederaan radang dingin (frostbite).

Pengalaman itu dilalui pendaki gunung Everest, RJ Nagarajan yang mengalami kecederaan serius dan hampir kehilangan jari jemari kananya selepas berjaya menawan gunung tertinggi di dunia itu pada tahun 2023.

Kaedah menanam tangan yang kenali sebagai Abdominal Pedicled Flap bertujuan menggunakan tisu daripada bahagian abdomen untuk disambungkan kepada struktur jari yang masih tinggal bagi membolehkan pembentukan saluran darah baharu.

Rawatan rekonstruksi dan pemeliharaan fungsi tangan dan rawatan lain selama 10 bulan itu, dijalankan oleh pakar UKM Specialist Centre (UKMSC) , Pakar Perunding Bedah Plastik dan Rekonstruktif, Dr. Adzim Poh Yuen Wen dan Pakar Perunding Ortopedik (Pembedahan Tangan dan Mikrosurgeri), Prof. Dr. Shalimar Abdullah.

Dr. Adzim berkata, kaedah itu berjaya menyelamatkan lima jari Nagarajan daripada dipotong (amputasi) dan membolehkannya kembali berdikari serta meneruskan aktiviti pendakian hasil daripada siri prosedur rekonstruktif yang kompleks oleh pasukan pakar multidisiplin.

“Sebaik saja Nagarajan dibawa ke UKMSC, pasukan Prof. Shalimar dan pasukan dari pelbagai disiplin lain, berbincang mengenai langkah yang kami boleh lakukan. Lima jari kanannya hitam sehingga ke pangkal jari dan tinggal tapak tangan saja manakala tulang boleh diselamatkan.

“Apabila ada kes begini, biasanya akan buang tisu dan kulit mati. Jadi, kami buat kaedah Abdominal Pedicled Flap untuk membentuk isi pada jari-jarinya. Selepas isi jari dibuang dan tinggal tulang saja, tangan kirinya ditanam dalam perut bawah kulit dan lemak. Selepas tiga minggu, apabila salur darah sudah mantap, tangan dikeluarkan dan jari-jarinya diceraikan,” katanya.

Dr. Adzim berkata demikian pada sidang media khas mengenai kejayaan rawatan ke atas Nagarajan yang mengalami pelbagai kecederaan lain.

Bagaimanapun teknik Abdominal Pedicled Flap bukan sesuatu yang baharu dalam dunia perubatan malah ia sudah dijalankan sejak puluhan tahun lalu bagi memastikan tisu jari dan tangan terus hidup.

Prof. Dr. Shalimar berkata, teknik itu juga umpama proses menjalankan kaedah ‘tut’ pokok bagi menghidupkan akar pokok yang yang dicantumkan pada dahan. Dalam kes ini, tisu pada jari jemari yang mati dapat dihidupkan semula apabila dicantumkan pada tisu dan lemak perut.

“Kes Nagarajan agak unik dan banyak perbincangan dijalankan antara pasukan perubatan pelbagai bidang di UKMSC mengenai pilihan yang ada. Selama dua bulan beliau di hospital ini, kami juga banyak belajar mengenai rawatan termasuk pesakit sendiri.

“Kami mungkin tidak banyak pengalaman dalam merawat pesakit kecederaan radang dingin seperti ini tetapi banyak perbincangan dijalankan bagi menjalankan rawatan ke atas pesakit.

“Tambahan pula, Nagarajan datang ke hospital selepas seminggu mengalami kecederaan dan teknik biasa iaitu merendam jarinya ke dalam air suam tidak akan membantu menyelamatkan bahagian terbabit, “ katanya.

Sebelum itu, Nagarajan yang turut mengalami pelbagai kecederaan lain seperti muka, telinga dan jari kaki, menjalani 10 sesi Terapi Oksigen Hiperbarik (Hyperbaric Oxygen Therapy) yang berjaya memulihkan aliran darah sekali gus menyelamatkan tangan kiri serta kedua-dua belah kaki daripada memerlukan pembedahan.

Namun, tahap kecederaan pada tangan kanannya memerlukan beberapa prosedur rekonstruktif yang kompleks.

Dr. Adzim berkata, hasil perbincangan bersama Mejar Dr. Muhammad Azrul Zakaria dari Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, bersetuju menjalankan terapi oksigen hiperbarik kepada Nagarajan.

Pesakit perlu dimasukkan ke dalam chamber bagi memulihkan salur darah, memulihkan luka kompleks dan memulihkan tisu yang separa hidup.

Nagarajan melalui terapi berkenaan sebanyak 10 kali dan berjaya menyelamatkan kecederaan dialami.

“Rawatan menerusi pendekatan pelbagai disiplin perubatan termasuk pakar mata, bagi memulihkan matanya turut dijalankan. Dalam tempoh 10 bulan, pesakit menjalani enam fasa pembedahan utama yang merangkumi rekonstruksi, prosedur pemisahan jari, pembetulan parut serta pembedahan pembentukan semula kontur tisu.

“Kejayaan rawatan ini membuktikan kepentingan kerjasama rapat antara pakar bedah rekonstruktif dan pakar mikrosurgeri tangan dalam menguruskan kes-kes yang sangat kompleks serta memulihkan fungsi anggota dan kualiti hidup pesakit, “ katanya.

Kini, Nagarajan kembali berdikari dalam menjalani kehidupan harian dengan bantuan prostesis berteknologi tinggi MCPDriver, yang membolehkannya menulis, menggenggam objek dan melakukan pelbagai aktiviti rutin dengan lebih yakin.

Falsafah rawatan adalah untuk memelihara fungsi tangan dan bukannya sekadar membuang tisu yang rosak.

Walaupun hanya sebahagian kecil jari dapat diselamatkan serta sendi asal dikekalkan, ia mampu memberikan impak yang besar terhadap keupayaan pesakit untuk berdikari dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

Badrul Akmal Hisham berkata, setiap kejayaan rawatan pesakit adalah bukti dedikasi, kerjasama dan keprihatinan warga profesional kesihatan UKMSC.

“Kami percaya proses penyembuhan bukan sekadar merawat penyakit, malah mengembalikan maruah, membina semula keyakinan dan memperkasakan individu untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat.

“Berpandukan aspirasi Healing Lives, Empowering Wellness, kami kekal komited dalam memberikan penjagaan kesihatan bertaraf dunia yang berpusatkan pesakit kepada setiap komuniti yang kami berkhidmat, “ katanya.

Ribut salji butakan mata

“Sepanjang tangan saya berada di dalam perut, saya rasa selesa saja. Mula-mula tidak dinafikan memang terasa lenguh tangan kerana tangan tidak boleh bergerak-gerak tetapi lama kelamaan hilang lenguh,” kata Nagarajan.

Lelaki berusia 62 tahun itu berkata, ketika mula-mula menjalani terapi Terapi Oksigen Hiperbarik, beliau dapat merasakan tekanan ketika berada dalam chamber. Ada sekali dia terpaksa keluar dari Chamber kerana tidak tahan dengan tekanan tetapi selepas beberapa hari, dirinya boleh menyesuaikan diri dengan terapi berkenaan.

“Proses rawatan mengambil masa hampir setahun sehingga saya mengalami kemurungan dan sindrom pasca trauma. Namun hasil rawatan pasukan perubatan ini saya berpeluang kedua dan menjalani hidup baharu.

Nagarajan sangat bersyukur kerana menerima rawatan daripada UKM Specialist Centre yang disifatkan merawatnya sebagai manusia selain memahami keperluan dirinya yang mengalami pelbagai kecederaan dan kehilangan anggota badan.

Mengimbau kembali insiden dialami ketika mendaki Everest, Nagarajan berkata, ketika sedang mendaki gunung ditemani sherpa, mereka menempuh ribut salji sehingga topeng muka yang dipakai pecah akibat tekanan dan serpihan salji memasuki mata kanannya.

“Saya cuba melindungi mata dan muka dengan cermin mata serta hoodie tetapi ia kurang berkesan.

“Mata saya bengkak tetapi saya masih teruskan mendaki sehingga ke puncak. Ketika turun dari puncak pula, mata sudah tidak nampak.

“Saya hanya bergantung kepada sebelah mata saja ketika turun.

“Ketika menuruni gunung pula, saya kehabisan oksigen dan ketika itu saya berada di zon pesawat terbang. Oksigen habis disebabkan ketika naik, saya banyak menggunakan oksigen berikutan berlakunya ribut salji,” katanya.

Katanya akibat kekurangan oksigen, tubuhnya mula mengalami hipoksia yang teruk serta terdedah kepada cuaca sejuk melampau dalam tempoh yang panjang sehingga menyebabkan kecederaan radang dingin yang serius pada bahagian muka, kedua-dua telinga dan kedua-dua belah tangan.

Nagarajan berkata, pada awalnya tubuhnya terasa sejuk dan seluruh badan terasa sangat sakit.

Selepas beberapa jam, jari kaki dan tangan mula bertukar warna kebiruan dan lama kelamaan bertukar warna keungguan serta kehitaman.

“Badan saya semakin lemah dan apabila tiba di kem empat, saya diterbangkan segera dengan helikopter ke Hospital Kathmandu dan dimasukkan terus ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan diberikan oksigen.

“Apabila pulang ke tanah air, saya terus dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan dirawat di UKM Specialist Centre.

“Memang tidak dinafikan kemudahan dan kemahiran di HCTM UKM ini jauh lebih baik berbanding di Kathmandu,” katanya.

Selepas pulih sepenuhnya, Nagarajan menggunakan prostesis tangan yang dibeli dari Amerika Syarikat (AS) bagi membantunya dalam menjalankan aktiviti seharian seperti menulis, menggunakan komputer dan telefon pintar.

Pengalaman ngeri yang dilaluinya di Everest tidak mematahkan semangatnya untuk terus menawan puncak gunung malah, Nagarajan kini kembali aktif dalam dunia pendakian sehingga berjaya menawan Gunung Makalu iaitu gunung kelima tertinggi di dunia.

Kejayaan ini adalah satu pencapaian luar biasa selepas melalui kecederaan yang hampir mengubah seluruh kehidupannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN