Hitam yang penuh watak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernahkah anda memandang sebuah bangunan konkrit lalu terfikir, “Cantiknya kalau boleh dipakai?” Mungkin tidak. Biasanya kita cuma mencari pintu masuk, tempat meletak kereta atau sudut paling cantik untuk bergambar.

Namun, di tangan Aleef Rasul Mohamad Ridzuan, graduan UiTM Shah Alam, kekuatan seni bina brutalisme berjaya diterjemahkan menjadi koleksi fesyen yang dramatic dan sukar dilupakan.

Baru-baru ini, saya berpeluang melihat koleksi terbaharu Aleef yang menemukan dua bidang berbeza tetapi sebenarnya berkongsi bahasa sama, iaitu seni bina dan fesyen. Kedua-duanya memerlukan kreativiti, struktur, fungsi, keseimbangan serta pemilihan bahan yang tepat.

Bezanya, bangunan melindungi tubuh dari luar, manakala pakaian menjadi ruang peribadi yang bergerak bersama pemakainya.

Di sinilah letaknya kekuatan koleksi ini. Aleef bukan sekadar meminjam rekaan sebuah bangunan untuk menghasilkan pakaian yang cantik. Sebaliknya, dia membina busana seperti seorang arkitek membangunkan ruang dengan memikirkan bentuk, sokongan, pergerakan dan fungsi.

Pendekatan sebegini wajar diraikan kerana memperlihatkan kemampuan graduan tempatan mencabar sempadan fesyen, bukan sekadar mengejar apa yang sedang tular.

Brutalisme, satu gerakan penting dalam sejarah seni bina moden, terkenal dengan garis tegas, warna monokrom dan permukaan konkrit yang dibiarkan jujur tanpa hiasan berlebihan.

Semua sifat itu muncul dalam koleksi Aleef menerusi bahu bersudut, kolar tinggi, panel tajam dan siluet berskala besar yang seakan-akan membina ruang di sekeliling tubuh.

Ada helaian yang kelihatan seperti arca bergerak. Ada pula struktur lebar yang boleh dikembangkan, dilipat atau diubah melalui sistem sokongan dan zip. Dari hadapan, ia kuat dan penuh autoriti.

Dari belakang, binaannya mendedahkan ketelitian yang hampir menyerupai pelan kejuruteraan.

Pemilihan fabrik heavy wool memberikan ilusi visual konkrit, sekali gus membantu mengekalkan bentuk pakaian. Warna hitam dan kelabu arang pula menjadikan setiap garis serta sambungan lebih jelas.

Namun, di sebalik penampilannya yang keras, koleksi ini tetap mempertimbangkan kebolehpakaiannya. Beberapa bahagian berzip boleh dibuka bagi menukar fungsi dan bentuk. Inilah fesyen modular yang mempunyai tujuan, bukan gimik yang sekadar cantik selama 30 saat di kamera.

Koleksi ini turut membuka perbualan penting. Busana hitam tidak semestinya membosankan atau muram. Rahsianya ialah bermain dengan tekstur. Padankan fabrik kusam dengan material kapas lembut atau aksesori logam.

Jika pakaian mempunyai siluet unik dan bahu yang besar, biarkan ia menjadi watak utama. Pilih seluar lurus, skirt ringkas atau kasut tanpa terlalu banyak perincian. Dalam hidup pun begitu, kalau seorang sudah petah bercakap, yang lain tidak perlu berebut mikrofon.

Tips saya, pilihlah satu elemen berstruktur seperti jaket pendek, vest berbahu tegas atau skirt panel, kemudian gabungkan dengan fabrik lebih ringan. Wanita bertudung boleh memilih tudung hitam polos, kelabu asap atau putih bersih dengan lilitan kemas supaya garis pakaian kekal terserlah.

Bagi yang tidak bertudung, sanggul rendah atau rambut disisir rapi memberikan kemasan moden. Sedikit gincu merah gelap atau anting-anting perak sudah mencukupi.

Karya Aleef membuktikan fesyen Malaysia mempunyai ruang untuk menjadi eksperimental.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN