KAMI curi-curi masa melakukan temu ramah ini di kafe tempat penyanyi, Heidi Moru bekerja sebagai barista. Apabila kafe lengang, gadis asal Sabah itu duduk di hadapan saya dengan semangguk mi segera.
“Maaf, kita sembang sambil saya makan tengah hari, boleh?” katanya sopan sambil saya mengerling jam menunjukkan pukul tiga, menghampiri jam makan malam. Heidi baru tiba di Kuala Lumpur sekitar 10 pagi hari sama selepas pulang dari siri jelajah showcase Semoga Panjang Umur di Penang.
Perkara yang paling mustahak dilakukan oleh seorang penyanyi adalah bernyanyi. Jika tiada tempat yang menawarkan ruang, dia perlu bijak mencipta peluang. Itulah yang dilakukan Heidi semasa tercetusnya idea melakukan showcase dari kafe ke kafe.
“Selepas showcase pertama di Petaling Jaya Performing Arts Center (PJPAC) Mac lalu, saya terfikir, apa lagi yang patut saya buat? Kawan saya yang juga vokalis band Empty Page, Zic cadangkan saya buat ‘tour’.
“Sebelum ini, saya fikir kalau mahu buat ‘tour’ kena tempat yang besar, lengkap pasukan, sistem bunyi mewah dan pengunjung yang ramai. Tapi sebenarnya tidak perlu semua itu, kita boleh buat di tempat yang kecil macam kafe.Saya terus buka langkah, tanya kawan-kawan yang pernah buat perkara sama. Mereka semua baik hati kongsikan beberapa kafe yang mungkin saya boleh ajak untuk berkolaborasi,” katanya.
Penyanyi Senja itu kemudian memulakan lokasi jelajahnya di Kalcer Hub, Johor, bertolak seorang diri dengan menaiki bas tanpa ditemani sesiapa. Memandangkan rakannya yang juga penyanyi
Acap dari band Loko tinggal di Johor, dia membantu menguruskan banyak perkara.

“Selepas Johor, saya dapat jemputan ke Bri:z Everyday, Melaka dan Shhine Grounds di Ipoh. Saya pun tidak sangka. Di Melaka, kafe itu di kawasan kejiranan yang tidak banyak kereta lalu lalang. Mereka buka kerusi ‘healing’ atas jalan, jadi saya boleh berlari sambil bernyanyi.
“Kalau di kafe lain, konsep mereka ‘indoor’ cuma saya tetap panjat kerusi. Entah, saya rasa seronok buat persembahan sebegitu supaya apa yang dinyanyikan sampai kepada pendengar, selain sebab adrenaline juga.
“Tapi saya hadapi cabaran di Penang, sebab walau beritahu akan buat jelajah di sana, tapi tempat tak dapat lagi. Dua minggu usaha tapi tak jumpa. Akhirnya, saya buat hantaran di media sosial kalau ada kafe yang mahu jalin kerjasama. saya boleh ‘bawa rezeki’. Banyak pemilik cafe yang sudi tapi saya pilih Bertemu Coffee,” katanya.
Tidak hanya urusannya dipermudah apabila terdapat kafe yang mahu menaja sistem bunyi, malah rakan-rakannya juga sukarela mahu memandu menemani Heidi ke lokasi jelajah di Melaka, Ipoh dan Penang.
Heidi turut berkongsi kesempatan dengan rakan-rakan pemuzik lain untuk menyanyi di setiap lokasi jelajahnya antaranya Acap Loko, Nicedream, Eidi Teman Lelaki, Megat Fazly dan Singgah Muzik.
“Saya berterus terang tentang keadaan showcase jelajah saya ini kepada semua termasuklah urusan bajet. Tapi semua orang sanggup untuk datang dan buat persembahan. Saya rasa itu penting untuk cari seseorang yang faham keadaan saya.

“Saya harap tour ini juga membuatkan mereka dapat sesuatu seperti pendengar baharu atau bahan untuk kandungan digital.Begitu juga dengan kawan-kawan yang temani saya di tour, walau saya hanya mampu bayar duit minyak dan belanja makan. Tapi mereka semua okay sahaja,” jelasnya.
Tegas Heidi, siri jelajah kafe ke kafe ini membuka lapis dirinya untuk berada lebih dekat dengan pendengar juga mengepal niatnya lebih kuat berkongsi perasaan di dalam lagu bersama pendengar.
“Niat saya adalah untuk berkongsi, saya akan beri tenaga persembahan yang sama baik di PJPAC ataupun jika hanya ada dua orang pendengar di depan saya.
“Saya lebih suka suasana intim, macam selepas persembahan, pendengar akan datang dan ceritakan bagaimana lagu-lagu saya menemani mereka di fasa luka.
“Saya macam mahu peluk mereka sebab teringat bagaimana saya juga sedih semasa menulis lagu itu dan pernah menangis di tempat ramai orang macam dalam kereta api.” katanya.
Ketika artikel ini ditulis, Heidi sedang dalam persediaan untuk menutup jelajah terakhirnya di Kinarut Records Station, Sabah.
“Tapi saya belum beli tiket pesawat sebab gementar. Saya akan ke Sabah sendirian, macam lengkap sudah satu bulatan. Saya mulakan jelajah ini sendiri, saya habiskan juga sendiri.
“Saya terharu kerana cita-cita saya untuk buat tour tercapai dengan cara yang ajaib. Tapi sudah tentu dengan usaha juga. Selepas ini saya akan hadir dengan buah tangan baharu, saya ada banyak ilham,” katanya ketawa.
Semoga Panjang Umur merupakan album Heidi Moru yang terbit pada 2024 mengandungi sembilan track. Sepanjang showcase, Heidi turut menyanyikan kesemua lagu termasuk lima lagu bonus iaitu Kata Hati, Senja, Salah, Nada Dering dan Berciciran.










