BUKIT JALIL: Penyanyi dan komposer, Noh Salleh meluahkan rasa teruja apabila bakal bekerjasama dengan pemuzik terkenal, Aubrey Suwito di konsert Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra pada 8 November ini.
Menurut Noh, peluang tersebut cukup bermakna memandangkan dia sudah lama mengagumi Aubrey yang banyak bekerjasama dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Selepas berpeluang bekerjasama dengan Alvin Witarsa di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) tahun lalu, saya dikurniakan rezeki oleh Allah SWT untuk bekerjasama pula dengan Aubrey Suwito.
“Sejak saya mula meminati muzik, saya sudah melihat Aubrey bekerja dengan Tok Ti. Ketika itu saya selalu terfikir bilalah giliran saya dapat bekerja dengan dia?
“Sekarang apabila peluang itu datang, saya memang sangat teruja. Mungkin daripada sudut Aubrey, perkara itu biasa sahaja, tetapi saya sebagai peminatnya memang rasa sangat teruja,” katanya.
Noh berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Borneo Rising yang turut mengumumkan dirinya sebagai juri tetap program realiti itu, baru-baru ini.
Dalam masa sama, penyanyi kelahiran Sarawak itu juga teruja apabila beberapa hasil karyanya bakal mendapat sentuhan Aubrey pada malam konsert yang bakal berlangsung di Idea Live Arena Kuala Lumpur itu nanti.
“Saya diberi peluang apabila Aubrey meminta saya serahkan karya-karya saya kepadanya. Kalau dibandingkan dengan persembahan orkestra kami di DFP sebelum ini yang membabitkan kira-kira 40 pemuzik.
“Aubrey bercadang untuk menambah mungkin sekitar 20 orang lagi. Tetapi perkara itu masih dalam perbincangan sebab itu saya mengambil peluang sepanjang dua bulan ini untuk berehat, bersenam dan fokus kepada program ini.
“Saya juga mahu bermuhasabah. Mungkin sepanjang dua bulan menjadi juri, saya akan memperoleh lebih banyak inspirasi untuk konsert tersebut,” jelasnya.
Ditanya siapa lagi yang dirinya mahu bekerjasama selepas ini, Noh mengakui diri teringin mahu bekerjasama dengan penyanyi, Aisha Retno selepas melihat kejayaannya menghasilkan lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Ramai lagi penyanyi yang saya mahu bekerjasama antaranya Marsha Milan Londoh dan Aisha Retno. Saya menilai seseorang artis berdasarkan kerajinan mereka. Adakah mereka seorang yang sentiasa berusaha seperti Aina Abdul, keluar masuk studio dan terus berkarya?
“Ada juga artis yang hanya menunggu seperti Noh Salleh. Sebab itu apabila melihat orang muda yang sentiasa masuk studio, saya kagum. Aisha Retno misalnya, Datuk Seri Siti Nurhaliza sendiri meminta lagu daripadanya.
“Bagi saya itu sesuatu yang hebat. Dia berjaya menghasilkan sebuah lagu yang menjadi perhatian dan mempunyai nuansa tradisional seperti lagu Kesuma. Apabila saya dengar lagu itu, saya rasa seolah-olah Aisha benar-benar meletakkan dirinya dalam posisi Tok Ti ketika menghasilkan lagu tersebut.
“Pada masa sama, biduanita yang kita sayangi itu juga sanggup merendahkan ego dan mendengar karya orang baharu. Dia tidak berlagak. Sebab itu saya semakin sayang dan menghormati Tok Ti,” ujarnya.
Mengulas mengenai Borneo Rising, Noh serta Marsha Milan dan Shila Amzah dipilih menjadi juri tetap program realiti yang dicipta untuk mengangkat bakat baharu yang berasal dari Borneo.
Program yang bakal dikendalikan oleh Zizan Razak dan Sherry Alhadad itu bakal bersiaran di Astro Ria dan TV Okey setiap Ahad bermula pada 6 September ini.










