KUALA LUMPUR: Penglibatan dalam dunia teater bukan sekadar membuka ruang kepada pelakon, Amalina Arham untuk meneroka sisi seni yang berbeza, sebaliknya menjadi medan penting dalam memantapkan asas lakonannya.
Pernah terlibat dalam pementasan teater Tarik Picu, Amalina berkata, pengalaman berada di atas pentas banyak membantunya memahami kepentingan penguasaan tubuh badan, pergerakan serta komitmen menyeluruh dalam menjayakan sesuatu watak.
Menurutnya, latar belakangnya dalam seni mempertahankan diri dan nyanyian turut memberi cabaran tersendiri apabila dia perlu belajar melembutkan pergerakan bagi memenuhi kehendak sesebuah watak.
“Saya terlibat dalam seni mempertahankan diri dan juga menyanyi, jadi pergerakan saya agak keras. Oleh itu, saya perlu mencuba untuk menjadi lebih lembut. Pada pendapat saya, dunia teater merupakan asas kepada bidang lakonan.
“Seseorang pelakon seharusnya mempelajari asas lakonan melalui teater kerana dalam teater, segala tumpuan diberikan kepada anda, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Setiap gerak-geri membawa makna tertentu. Anda perlu memberikan komitmen sepenuhnya,”katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah Amalina lagi, cabaran dalam teater jauh berbeza dengan lakonan di hadapan kamera kerana seseorang pelakon perlu menggunakan keseluruhan tubuh bagi menyampaikan emosi dan membentuk karakter.
“Jika dalam filem tumpuan mungkin lebih kepada reaksi mata, tetapi teater memerlukan penglibatan seluruh anggota badan. Saya mahu menceburi dunia teater untuk memantapkan asas lakonan saya sebelum beralih ke layar skrin,” katanya.
Dalam pada itu, Amalina turut berkongsi perancangan untuk mengembangkan perjalanan seninya dalam bidang muzik apabila bakal melancarkan sebuah single menjelang hujung tahun ini.
Walaupun mempunyai beberapa iklan televisyen yang akan ditayangkan dalam masa terdekat, pelancaran karya muzik baharu menjadi antara fokus utama pelakon itu ketika ini.
Amalina berkata, kecenderungannya lebih terarah kepada genre jazz dan soft pop, dengan beberapa nama besar seperti Billie Eilish, Peggy Lee dan Ella Fitzgerald menjadi antara rujukan muziknya.
“Saya mempunyai beberapa iklan televisyen yang akan keluar, tetapi perancangan utama saya adalah untuk melancarkan sebuah lagu single pada hujung tahun ini.
”Saya sangat meminati genre muzik jazz dan ‘soft pop’. Antara rujukan muzik saya ialah Billie Eilish dan penyanyi jazz seperti Peggy Lee serta Ella Fitzgerald. Saya juga meminati lagu seperti Fever,” katanya.
Tidak menolak kemungkinan untuk menggabungkan dua dunia seni yang diminatinya, Amalina turut menyimpan hasrat untuk menceburi bidang teater muzikal pada masa hadapan.
Malah, pengalamannya menjayakan persembahan pembukaan dan penutup Musical Awak Sangat Superstar semakin menyemarakkan minatnya untuk meneroka cabang seni berkenaan.
“Saya sangat berminat untuk menceburi teater muzikal kerana ia memerlukan tahap kemahiran yang berbeza, bukan sahaja dari segi nyanyian tetapi juga pembentukan watak.
”Bagi saya, itu pasti akan menjadi sesuatu yang sangat menarik dan saya berharap dapat meneroka bidang tersebut dengan lebih mendalam pada masa akan datang,” katanya.










