Saya tidak akan berhenti lagi, tahun depan saya akan ada album sulung – J Zainal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETAPAK. Selepas pernah berehat daripada industri muzik, penyanyi, J Zainal, mendedahkan dia tidak akan berundur lagi dan sedia untuk melancarkan album baharu dan siri jelajah seluruh negara bersama kumpulannya, Akta Tribunal, tahun depan.

J Zainal berkata, dia sentiasa mendapat sokongan daripada keluarga dan kawan-kawan yang mendesaknya untuk kembali aktif supaya lagu-lagu ciptaannya terdahulu boleh diperdengarkan lagi kepada pendengar.

“Saya akan teruskan dan tidak akan berhenti lagi. Tahun depan InsyaAllah kita akan ada album dan kemudian buat siri jelajah satu Malaysia.

“Saya berjanji kepada diri dan keluarga kerana mereka kerap desak saya untuk terus berkarya. Mereka tanya untuk apa simpan lagu yang banyak di rumah,” selorohnya.

J Zainal berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media pelancaran lagu baharunya berjudul Beralun, di Hertz and Megatone Music, Setapak, pada Jumaat.

Menyedari perancangan itu memerlukan komitmen tinggi, J Zainal mahu memberikan hasil kerja yang lebih baik demi memuaskan hati semua peminatnya.

Katanya, soal kejayaan projek berkenaan berada di luar kawalannya dan dia lebih fokus untuk memberikan usaha semaksimum mungkin terlebih dahulu.

“Jadi saya berjanji kepada mereka untuk mencuba sehabis baik. Sama ada menjadi atau tidak, itu soal belakang. Janji saya akan cuba sesebaik mungkin, InsyaAllah,” katanya.

Sementara itu, mendedahkan realiti sebagai anak seni bebas, J Zainal mengakui pergerakan muziknya bergerak sendiri tanpa sebarang penaja.

“Kalau boleh memang mahukan penaja, tetapi buat masa ini kita berjalan sendiri dahulu. Barang cenderamata yang ada hari ini pun saya potong dan buat sendiri.

“Disebabkan kami daripada muzik Indie, perkara ini nampak pelik bagi sesetengah orang tetapi ia biasa buat kami. Ke depan nanti kalau ada modal lebih, mungkin boleh hantar ke kedai kerana agak penat juga,” katanya.

Terdahulu, J Zainal pernah berehat seketika akibat kemelut dalaman kumpulan lamanya serta kekangan pandemik COVID-19, sebelum kembali bangkit bersama kumpulan baharunya, Akta Tribunal.

Mengenai solo kelimanya itu, Beralun, lagu ini menyentuh sikap segelintir individu yang mudah melontarkan pandangan, menunjukkan rasa bijak pandai serta keberanian di sebalik telefon atau komputer, sedangkan perkara sama mungkin tidak dilakukan ketika berhadapan secara bersemuka.

Beralun bakal menjadi antara lagu yang dimuatkan dalam album sulung J Zainal yang dijangka siap pada 2027.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN