HANOI: Tanah Tinggi Tengah Vietnam menghasilkan kira-kira satu per enam daripada bekalan kopi dunia.
Namun, para petani kini menukar tanaman tradisional itu kepada durian bagi meraih keuntungan daripada permintaan yang melonjak di China terhadap raja buah-buahan yang terkenal dengan baunya yang kuat.
“Anda boleh hidup dengan baik dengan kopi, tetapi durianlah yang boleh menjadikan anda kaya,” kata Pham Xuan Lan ketika membawa wartawan AFP meninjau ladangnya.
Dengan iklim tropika dan tanah basalt yang subur, kawasan Tanah Tinggi Tengah menghasilkan biji kopi robusta dalam jumlah yang besar dan Vietnam hanya ketinggalan di belakang Brazil dari segi pengeluaran kopi.
Bagaimanapun, kawasan yang ditanam dengan durian meningkat lebih lima kali ganda kepada 200,000 hektar di seluruh negara sepanjang dekad lalu, menurut kementerian pertanian.
Vietnam hanya secara rasmi memasuki pasaran durian China selepas protokol perdagangan pada 2022.
Tahun lalu, ia menjadi pembekal durian terbesar China dari segi jumlah, menamatkan penguasaan Thailand selama hampir dua dekad.
Lan merupakan antara petani terawal yang beralih kepada durian, mempelbagaikan tanamannya sejak dua dekad lalu dan kini mempunyai 400 pokok durian di komun Ea Knuec, sebahagian daripada wilayah Dak Lak.
Pokok-pokok itu menghasilkan 60 tan buah durian yang manis tetapi berbau kuat, sebelum dihantar dalam kontena sejuk beku sejauh ribuan kilometer ke utara menuju China.
Lelaki berusia 56 tahun itu menjangkakan memperoleh AS$76,000 (RM306,000) tahun ini berbanding hanya AS$10,000 (RM40,300) sekiranya beliau kekal menanam kopi semata-mata.
“Dengan durian, saya membeli kereta, rumah untuk anak-anak saya dan membina vila untuk keluarga,” katanya.
Petani tempatan lain turut mengikuti jejaknya, dengan memberi tumpuan kepada varieti premium seperti Ri6, Musang King dan Dona.
Sepanjang musim menuai dari Ogos hingga Oktober, jalan raya di Dak Lak dipenuhi lori yang membawa buah berduri itu. – AFP










