Ecuador isytihar darurat akibat El Nino

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

QUITO: Ecuador menjadi negara terbaharu di Amerika Latin yang mengisytiharkan darurat susulan fenomena iklim El Nino pada Sabtu, yang menurut pegawai mungkin menjadi kejadian paling kuat pernah direkodkan.

El Nino tahun ini sudah menimbulkan kemusnahan di Amerika Tengah yang kini dilanda kemarau teruk, serta Indonesia, apabila fenomena itu memburukkan lagi kebakaran hutan.

Saintis meramalkan El Nino semasa akan mencapai kemuncaknya menjelang akhir tahun ini dan menyebabkan suhu global mencatat rekod baharu pada 2027.

Kementerian Pengurusan Risiko Ecuador mengisytiharkan amaran merah di seluruh negara sebagai tindak balas terhadap episod El Nino.

Amaran itu mengaktifkan jawatankuasa kecemasan yang bertanggungjawab menyelaras pemindahan penduduk secara pencegahan serta langkah-langkah lain.

El Nino menyebabkan suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik khatulistiwa meningkat, sekali gus mengubah corak angin, tekanan udara dan taburan hujan, selain menjejaskan kegiatan perikanan serta penghijrahan burung.

Ecuador turut menjangkakan kemarau dan kebakaran hutan berlaku di wilayah Amazonnya, di bahagian timur negara itu.

Panama, Honduras dan El Salvador sebelum ini turut mengisytiharkan darurat susulan El Nino.

Di selatan, Peru mengisytiharkan darurat di satu pertiga daripada bandar-bandar di negara itu susulan El Nino, sambil memberi amaran cuaca panas dan hujan lebat boleh menyebabkan masalah kekurangan bekalan makanan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN