NEW DELHI: Harga gula di India melonjak hampir 40 peratus dalam tempoh dua bulan lalu, mendorong kerajaan mengimport sejuta tan gula buat kali pertama dalam tempoh hampir sedekad.
Langkah itu dibuat ketika permintaan gula mula meningkat sejak Ogos, susulan musim perayaan seperti Ganesh Chaturthi, Dussehra dan Diwali yang kemudiannya disusuli musim perkahwinan yang rancak.
Syarikat makanan dan minuman turut mula menyiapkan stok bekalan bagi menghadapi antara tempoh jualan paling sibuk mereka, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap harga borong.
Pengeluaran gula India kini dijangka berjumlah 30.6 juta tan bagi musim semasa yang berlangsung dari Oktober 2025 hingga September 2026, iaitu 11 peratus lebih rendah berbanding anggaran awal kerajaan sebanyak 34.3 juta tan.
Kekurangan bekalan itu menyebabkan harga melonjak. Harga sekilogram gula yang sekitar 45 rupee (RM1.89) pada Mei dan Jun meningkat kepada 60 rupee (RM2.53) di beberapa pasaran pada Ogos, meskipun harga mula menunjukkan sedikit penurunan.
Keadaan itu menyebabkan negara yang juga merupakan pengeluar gula kedua terbesar dunia itu akhirnya perlu mengimport bekalan gula.
Kerajaan menyalahkan pengeluaran tebu yang lebih rendah akibat kekurangan hujan ketika fenomena El Nino, kegiatan menyorok bekalan serta bekalan global yang semakin ketat selepas cuaca buruk menjejaskan pengeluar utama lain.
Namun, pakar berkata, satu lagi faktor utama ialah India terlebih menganggarkan pengeluaran domestiknya, selain membenarkan gula dieksport sebelum skala kekurangan bekalan sebenar diketahui.
Kerajaan pada mulanya meluluskan eksport 1.5 juta tan gula bagi musim ini, sebelum menambah 500,000 tan lagi pada Februari. Hampir 800,000 tan sudah dihantar keluar negara sebelum eksport dihentikan pada Mei.
“Daripada membenarkan eksport pada awal musim sehingga akhirnya mengimport sejuta tan, terdapat perbezaan besar dalam anggaran pengeluaran dan itu satu kejutan besar,” kata Penganalisis Kanan PhillipCapital India, Vikram Suryavanshi.-AGENSI










