Israel bedil Lubnan, musnahkan bangunan warisan

ISRAEL masih merobohkan struktur bangunan di selatan Lubnan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Sabtu menyuarakan kebimbangan berhubung tindakan Israel yang terus merobohkan struktur di selatan Lubnan, meskipun gencatan senjata telah dicapai de­ngan kumpulan Hizbullah.

“Skala letupan dan pemusna­han yang berlaku di selatan Lubnan amat membimbangkan selain memberi impak yang memusnahkan terhadap infrastruktur awam, warisan budaya serta ingatan kolektif masyarakat,” menurut kenyataan Pejabat Penyelaras Khas PBB untuk Lubnan.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas tentera Israel melancarkan siri letupan besar-besaran pada waktu malam berhampiran sebuah istana yang disenaraikan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) di Lubnan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Israel Katz, memaklumkan bahawa pihak tentera telah memusnahkan terowong pejuang Palestin  di kawasan Beaufort menggunakan kira-kira 700 tan bahan letupan.

Istana Beaufort telah dima­sukkan ke dalam Senarai Wa­risan Dunia dalam Bahaya oleh UNESCO sebelum ini.

Presiden Lubnan, Joseph Aoun pada Jumaat menyifatkan tindakan pemusnahan itu sebagai peningkatan ketegangan yang amat berbahaya. Katanya, tindakan itu merupakan ancaman berasas secara langsung terhadap proses yang dimulakan di bawah perjanjiian kerangka yang dengan Israel menerusi perundingan tajaan Amerika Syarikat (AS) bulan lalu.

Berdasarkan perjanjian, tentera  Lubnan dikehendaki melucutkan senjata Hizbullah.

Tentera Israel juga perlu berundur dari zon perintis di negara tersebut sebelum pasukan keselamatan Lubnan ditempatkan di kawasan berkenaan.

“Pemilihan masa letupan yang berlaku menjelang pusi­n­gan perundingan seterusnya dengan Israel di Rom menghantar mesej negatif dan menjejaskan usaha antarabangsa yang bertujuan mengukuhkan kestabilan,” tambah Aoun.

Agensi Berita Kebangsaan (NNA) milik kerajaan Lubnan melaporkan beberapa lagi siri letupan di kawasan lain di bahagian selatan sejak kejadian itu, dengan menghasilkan dentuman  kuat sehingga kedengaran di seluruh rantau berkenaan.

Laporan itu turut menyebut sekurang-kurangnya satu sera­ngan udara Israel dilancarkan di kawasan selatan pada Sabtu yang menyebabkan dua orang cedera. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN