PETALING JAYA: Seramai 10 rakyat Malaysia yang merupakan kumpulan pendaki dikenali sebagai Team Loe dikhuatiri terlibat dalam tragedi kepala air yang berlaku di sempadan Nepal-Tibet, kelmarin.
Kesemua mereka difahamkan menaiki dua buah kenderan pikap dan berada kira-kira 18 kilometer dari lokasi ketika kejadian berlaku.
Rakan kumpulan pendaki, Azrul Zabani berkata, kumpulan itu berada dalam jalur laluan kepala air berikutan kedudukan kawasan berkenaan yang merupakan kawasan lembah.
Menurutnya, kumpulan terbabit menaiki dua kenderaan pacuan empat roda dari Kathmandu menuju ke sempadan Nepal-Tibet, Rasuwagadhi-Kerung (Gyirong), sebelum meneruskan perjalanan ke Lhasa Tour, Tibet.
“Mereka bertolak dari Kathmandu kira-kira pukul 3 pagi dan dilaporkan hampir tiba di sempadan apabila kepala air berlaku antara pukul 9 hingga 10 pagi.
“Analisis risiko saya mengatakan mereka kena kepala air sangat tinggi kerana mereka berada di jalur laluan kepala air, sebab kawasan ini kawasan lembah.
“Semasa berlaku kepala air, Jeep mereka lagi 18 kilometer hendak sampai ke sempadan Nepal-Tibet, Rasuwagadhi-Kerung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambah Azrul, berdasarkan maklumat yang diterima daripada operator warga Nepal yang mengendalikan perjalanan berkenaan, kesemua mereka dipercayai masih berada di dalam kenderaan ketika kepala air melanda kawasan tersebut.
Katanya, pacuan empat roda itu turut membawa seorang pemandu pelancong namun individu berkenaan juga belum dapat dikesan sehingga kini.
“Sejauh mana ‘Jeep’ itu dihanyutkan air, itu yang tidak pasti. Tetapi kalau operasi menyelamat dapat menemukan Jeep berkenaan, kemungkinan mereka semua berada di situ.
“Selain itu, operasi mencari dan menyelamat turut berdepan risiko berikutan kemungkinan berlaku aliran susulan atau ‘second wave’ di kawasan bencana, sekali gus menyukarkan usaha pasukan penyelamat memasuki lokasi kejadian.
“Keadaan kawasan terbabit sangat teruk dan terdapat beberapa lokasi yang berbahaya untuk dimasuki, menyebabkan pasukan penyelamat perlu mengambil kira risiko keselamatan mereka ketika menjalankan operasi mengesan kumpulan berkenaan
“Kerajaan Nepal bersama pasukan penyelamat sudah menggerakkan aset termasuk helikopter ke kawasan bencana, namun operasi masih terhad berikutan keadaan laluan yang sukar dan berbahaya,” katanya.
Dalam pada itu, Azrul berkata, kesemua 10 rakyat Malaysia terbabit gagal dihubungi sejak semalam bermula pagi sehingga kira-kira pukul 2 pagi, dengan gangguan komunikasi turut menyukarkan usaha mendapatkan perkembangan mereka.
“Kalau mereka sempat melepasi urusan di sempadan sebelum kejadian kira-kira pukul 9 hingga 10 pagi, kebarangkalian untuk mereka selamat adalah tinggi,” katanya.
Selain itu, Azrul berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Nepal turut berusaha mendapatkan maklumat terkini daripada pasukan penyelamat, manakala waris dinasihatkan menghubungi pihak insurans masing-masing bagi mengetahui bentuk bantuan yang boleh ditawarkan.
“Saya menyeru keluarga serta komuniti rekreasi dan aktiviti luar bersama-sama mendoakan keselamatan kesemua 10 rakyat Malaysia terbabit, iaitu Ganesh Neupane, Shabuddin Mun, Azman Karim, Mohd. Fadzil Daros, Muhammad Haziq Ismail, Mohd. Nohan Salim, Jason Ngeow, Muhamad Nasir Abdul Talib, Mohd. Fakhful Munir Mohd Isa dan Mohd. Sani Harul,” katanya. – UTUSAN









