WASHINGTON: Penggunaan senjata canggih secara meluas dalam perang menentang Iran menyebabkan stok senjata tentera Amerika Syarikat (AS) susut dengan ketara, sekali gus mengehadkan keupayaan Washington untuk menghalang ancaman daripada China dan Russia, lapor The Wall Street Journal.
Perancang ketenteraan melahirkan kebimbangan pengurangan sumber itu memaksa Markas Eropah AS (EUCOM), bahagian yang bertanggungjawab terhadap operasi ketenteraan AS di seluruh benua berkenaan terpaksa menyesuaikan rancangan operasinya.
Malah, pegawai AS menilai Washington juga tidak dapat melaksanakan sepenuhnya rancangan kontingensi untuk mempertahankan Taiwan, pulau yang mempunyai pemerintahan sendiri tetapi dituntut China sebagai sebahagian daripada wilayahnya, sekiranya operasi ketenteraan berlaku dalam tempoh terdekat.
Menurut beberapa pegawai, pemindahan unit pertahanan udara dari Jepun, Korea Selatan dan Jerman ke Asia Barat mewujudkan ‘ruang kelemahan’ dalam postur ketenteraan global AS yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk dipulihkan.
Stok pemintas PAC-3 Patriot dan peluru berpandu permukaan-ke-permukaan ATACMS di Eropah pula dikatakan berada pada tahap melebihi kritikal, menurut beberapa pegawai.
Selain itu, pemintas antipeluru berpandu THAAD dan sistem pertahanan terhadap dron turut dialihkan ke Asia Barat, menyebabkan bekalan di Eropah semakin berkurangan.
Langkah berkenaan turut mengehadkan keupayaan negara-negara Barat untuk menghantar pemintas peluru berpandu ke Ukraine ketika serangan peluru berpandu Russia terus berlaku.
Rumah Putih dan Pentagon bagaimanapun secara rasmi menafikan berlaku kekurangan peluru dan senjata akibat perang Iran yang bermula apabila AS bersama Israel melancarkan serangan ke atas Teheran pada 28 Februari.










