COPENHAGEN: Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen membidas tindakan seorang pakar bedah plastik lelaki yang menawarkan khidmat untuk ‘membaiki’ bentuk hidungnya menerusi mesej peribadi di laman Instagram.
Frederiksen memuat naik tangkapan skrin mesej daripada pakar bedah berkenaan yang menyatakan kesediaan untuk membaiki bintik kecil pada hidung beliau.
Pemimpin wanita yang juga antara ketua kerajaan paling lama berkhidmat di Eropah itu memberi maklum balas ringkas dan tegas terhadap tawaran berkenaan.
“Oh tidak. Saya gembira dengan tubuh badan saya dan tidak memerlukan pandangan daripada seorang pakar bedah plastik lelaki mengenainya,” balas Frederiksen.
Mengulas mengenai mesej yang diterimanya sewaktu dalam perjalanan pulang dari Ukraine itu, Frederiksen mendedahkan bahawa beliau sudah terbiasa menerima pelbagai kritikan berhubung penampilan fizikalnya sepanjang bertahun-tahun berkhidmat.
“Saya tidak boleh beritahu berapa banyak mesej yang saya terima selama ini mengenai rupa paras saya, terutamanya kritikan bahawa saya mempunyai gigi yang hodoh, rambut nipis, ketuat pada hidung, mahupun cadangan untuk mengambil suntikan Botox.
“Saya tidak masuk campur dengan apa yang orang lain lakukan terhadap penampilan mereka. Saya selesa dengan tubuh badan saya seadanya sebagai wanita yang menghampiri usia 50 tahun,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa orang ramai sepatutnya memanfaatkan masa untuk perkara yang lebih penting berbanding mengkritik rupa paras atau hidungnya.
Abang beliau, Per Frederiksen sebelum ini pernah mendedahkan kepada media bahawa bentuk hidung adiknya itu mengalami kerosakan akibat insiden pergaduhan dengan kumpulan skinhead ketika usianya 13 tahun, semasa mempertahankan sepasukan pelarian Arab daripada serangan kumpulan rasis di Copenhagen.
“Hidungnya patah ketika cuba meleraikan pergaduhan itu. Jadi anda boleh katakan beliau tidak pernah takut untuk mempertahankan pendiriannya. Kesannya masih boleh dilihat menerusi lekukan kecil pada hidungnya sehingga hari ini,” jelas Per Frederiksen. – AGENSI










