JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengarahkan pihak berkuasa supaya membatalkan lesen perniagaan syarikat yang disyaki mengarahkan pembakaran hutan dan tanah, sambil memberi amaran bahawa tiada syarikat akan dikecualikan.
“Mana-mana syarikat, tidak kira siapa mereka, jika terdapat walaupun sedikit petunjuk bahawa mereka mengarahkan pembakaran, kami akan membatalkan lesen mereka.
“Kami akan membatalkan semua permit syarikat berkenaan. Saya tidak bergurau,” kata Prabowo ketika mempengerusikan mesyuarat penyelarasan mengenai pengurusan kebakaran hutan dan tanah di Pekanbaru, Riau, pada Isnin.
Prabowo turut menggesa pihak berkuasa mencegah individu daripada sengaja melakukan pembakaran atas apa jua alasan.
Beliau berkata, pendidikan kepada masyarakat perlu diperkukuh, khususnya di kampung-kampung, supaya penduduk memahami bahawa pembakaran tanah adalah dilarang.
Katanya, mereka yang perlu membersihkan kawasan tanah hendaklah mendapatkan bantuan kerajaan dan bukannya melakukan pembakaran.
Beliau menambah bahawa kerajaan tempatan, Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Nasional Indonesia (Polri) boleh membantu menguruskan kerja pembersihan tanah melalui kumpulan petani.
Kebakaran hutan itu telah menyebabkan jerebu tebal menyelubungi kawasan seperti Palangkaraya, ibu negeri Kalimantan Tengah di Borneo.
Kerajaan berkata minggu ini bahawa kebakaran telah memusnahkan lebih 200,000 hektar kawasan sejak awal tahun, keluasan kira-kira tiga kali ganda saiz ibu negara Jakarta yang luas. – AGENSI










