CARACAS: Pemimpin sementara Venezuela, Delcy Rodriguez memberi jaminan negara itu mengekalkan kawalan ke atas sumber minyaknya di bawah perjanjian baharu yang memberikan Amerika Syarikat (AS) akses besar kepada industri minyak negara berkenaan.
AS akan memperoleh kawalan majoriti terhadap 65 bilion tong rizab minyak. Presiden AS, Donald Trump menyifatkannya sebagai perjanjian minyak terbesar dalam sejarah dunia.
“Perkara yang mesti jelas ialah Venezuela mengekalkan pemilikan dan kedaulatan ke atas sumbernya,” kata Rodriguez dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen milik kerajaan.
Beliau berkata, perjanjian dengan AS itu bertujuan mengubah sumber yang selama ini terbiar dan tidak dimanfaatkan di bawah tanah menjadi sumber kesejahteraan sosial dan ekonomi untuk rakyat Venezuela.
Caracas berkata, perjanjian itu melibatkan pelaburan swasta bernilai AS$100 bilion (RM402.91 bilion) bagi menghidupkan semula industri minyak negara yang memiliki rizab terbukti terbesar di dunia itu.
Bagaimanapun, kekurangan ketelusan mengenai perjanjian itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Venezuela, termasuk penyokong kerajaan.
Pelbagai komen di media sosial menyuarakan kebimbangan mengenai kehilangan kedaulatan, manfaat yang kecil kepada Venezuela dan kos politik yang mungkin terpaksa ditanggung.
Kerajaan Venezuela berada di bawah tekanan hebat pentadbiran Trump sejak tentera AS menggulingkan dan menangkap bekas pemimpin negara itu, Nicolas Maduro pada Januari lalu. – AFP










