Peluang jadi guru kembali bersinar

Hebahan bagi pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 secara one-off tahun 2021 akan diumumkan esok. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas lebih setahun menunggu, akhirnya khabar gembira tiba untuk sekurang-kurangnya 153 calon simpanan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP).

Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) semalam mengumumkan tempoh sah laku untuk calon-calon simpanan tersebut yang tamat pada 25 Disember lalu dilanjutkan tiga bulan, sehingga 31 Mac tahun ini.

Pengumuman itu sekali gus memberi sinar kepada mereka untuk terus menjadi warga pendidik.

Salah seorang calon simpanan untuk subjek Reka Bentuk dan Teknologi, Siti Fatimah Rusli berkata, doa dan usaha mereka akhirnya berhasil apabila SPP mengumumkan perkara itu semalam.

“Kami memulakan desakan lebih lima bulan dahulu apabila melihat ada kemungkinan tidak akan dilantik dalam tempoh sah laku yang ditetapkan.

“Antara usaha yang digerakkan termasuk menghantar memorandum kepada SPP dan Kementerian Pendidikan selain mengumpul semua calon simpanan untuk menyuarakan isu ini melalui semua saluran yang ada.

“Alhamdulillah, SPP dan Kementerian Pendidikan mendengar keluhan kami. Harapan untuk bergelar guru dalam masa terdekat kini kembali bersinar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia pada 2 Disember lalu melaporkan saranan daripada Presiden Persatuan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd. Azizee Hasan supaya SPP melanjutkan tempoh sah laku calon simpanan sekiranya Kementerian Pendidikan tidak dapat menyediakan kekosongan di sekolah tahun ini.

Sejak Ogos lalu juga, Utusan Malaysia secara eksklusif melaporkan kebimbangan calon-calon simpanan tersebut yang ada antara mereka telah menanti sehingga tujuh tahun untuk bergelar guru namun tidak tercapai.

Situasi itu juga menyebabkan sebahagian daripada calon-caon simpanan itu yang terpaksa melakukan pekerjaan sementara untuk menampung kehidupan.

Mohd. Azizee berkata, pengumuman tersebut dapat melegakan kebimbangan nasib para calon simpanan yang belum dilantik ke jawatan tetap.

“Pada masa sama pihak i-Guru menuntut proses penempatan mereka disegerakan seawal mungkin supaya dapat menyelesaikan isu kekurangan guru di beberapa buah sekolah yang berlaku saban tahun.

“Ia bagi memastikan tidak ada mana-mana calon yang tercicir dan mendapat lantikan perjawatan serta penempatan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN