Buta mata tetapi celik hati

Sebahagian orang kurang upaya (OKU) penglihatan membaca al-Quran tulisan Braille pada Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran 1446H/2025 Pertubuhan Alumni Pelatih Islam Masalah Penglihatan di Brickfields, baru-baru ini. – Utusan/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kekurangan yang dihadapi bukan menjadi tembok penghalang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan untuk mengalunkan ayat suci Al Quran.

Nur Sharifah Jahan Syed Jakirul Alam, 28, berkata, kehilangan deria penglihatan tidak sesekali melemahkan semangatnya untuk membaca dan menghafal kitab suci itu.

Nur Sharifah Jahan Syed Jakirul Alam

Katanya, walaupun sangat sukar untuk memahami kod Braille al-Quran, bimbingan daripada sekeliling sangat membantu menaikkan semangat.

“Saya menjadi buta sepenuhnya pada umur 21 tahun. Jadi sangat mengambil masa yang lama untuk saya memahami kod Braille berbanding yang lain kerana perlu bermula dari peringkat asas.

“Proses untuk menguasai bacaan al-Quran braille juga bukan mudah dan saya mengambil masa hampir dua tahun untuk mengenali huruf-huruf Braille.

“Alhamdulillah, bacaan saya lancar selepas hampir empat tahun mengikuti kelas mengaji,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Majlis Tadarus Dan Khatam Al-Quran anjuran Pertubuhan Alumni Pelatih Islam Masalah Penglihatan bersama Absolute Wellness dan Sedekah Squad, di sini baru-baru ini.

Tambah Nur Sharifah Jahan, petugas-petugas di pusat pengajian banyak membantunya dalam melengkapkan pengajian al-Quran.

“Kami juga diberikan sokongan moral melalui program yang dianjurkan secara berkala oleh badan-badan pengajian.

“Ustaz dan pengajar juga sering bertanya khabar dan memberi semangat kepada kami,” katanya yang buta ketika membuat persiapan untuk melanjutkan pengajian ke luar negara dalam bidang undang-undang.

Menurutnya, masalah penglihatan itu bermula ketika dia berusia 18 tahun apabila secara tiba-tiba kabur dan selepas mendapatkan rawatan, doktor menyatakan matanya tidak dapat diselamatkan lagi.

Katanya, dia rindu untuk membaca al-Quran dalam bentuk kaligrafi yang biasa dilihat sebelum kehilangan penglihatannya.

Bagi seorang OKU penglihatan yang mahu dikenali sebagai Amir berkata, keluarga memainkan peranan yang besar dalam membantunya membaca al-Quran Braille.

“Emak saya hantar saya ke sekolah khas dari darjah satu dan dalam masa dua bulan sahaja, saya sudah dapat kuasai tulisan Braille.

“Dalam tempoh itu, saya sudah mula belajar al-Quran kerana coraknya tidak berbeza dengan tulisan biasa.

“Keluarga saya banyak bagi sokongan dan sentiasa dorong saya. Semua adik-beradik saya terima dengan baik keadaan saya. Itu yang buat saya lagi semangat hendak terus belajar,” katanya, – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN