KUALA LUMPUR: Struktur tarif elektrik yang disemak semula bagi Semenanjung Malaysia kini memperincikan pecahan kos dan insentif baharu kecekapan tenaga untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, struktur baharu yang diumumkan Suruhanjaya Tenaga (ST) pada 20 Jun lalu dan mula dilaksanakan pada 1 Julai 2025 itu memperkenalkan pengasingan caj lebih jelas bagi membantu pengguna memahami komponen kos bekalan elektrik.
“Buat pertama kali, struktur tarif elektrik memaparkan secara terperinci caj tenaga, caj kapasiti, caj rangkaian dan caj runcit mengikut kategori pengguna,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) berhubung matlamat jadual tarif elektrik baharu dalam mencapai agenda peralihan tenaga dan kemampanan jangka panjang serta dakwaan tarif membebankan rakyat serta langkah menangani kekeliruan dan keresahan awam berkaitan dasar ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, langkah ini berbeza daripada format terdahulu yang hanya menyenaraikan caj tenaga dan caj minimum.
Katanya, penambahbaikan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan kesedaran awam serta menggalakkan penggunaan tenaga secara lebih bijak selaras dengan agenda peralihan tenaga negara.
“Ini merupakan langkah awal untuk mendidik rakyat Malaysia menjadi pengguna tenaga yang lebih berhemah,” ujarnya.
Fadillah berkata, klasifikasi tarif bagi pengguna bukan domestik tidak lagi berdasarkan aktiviti ekonomi, sebaliknya ditentukan melalui tahap voltan sambungan.
Jelasnya, langkah ini memastikan pengguna bukan domestik dikenakan tarif yang mencerminkan kos sebenar bekalan elektrik tanpa diskriminasi mengikut sektor,” katanya.
“Sebagai sebahagian usaha menggalakkan kecekapan tenaga, kerajaan turut memperkenalkan insentif langsung kepada pengguna termasuk PMKS yang mencatatkan penggunaan elektrik bulanan sebanyak 200kWj atau kurang.
“Insentif bersasar ini bertujuan memupuk penggunaan tenaga secara cekap dalam kalangan isi rumah dan perniagaan kecil, sekali gus membantu mengimbangi permintaan elektrik serta meningkatkan penjanaan tenaga boleh baharu,” jelasnya.
Tambahnya lagi, struktur tarif baharu itu juga direka untuk menggalakkan minat pengguna bukan domestik dalam menggunakan tenaga boleh baharu (RE) sebagai pilihan yang lebih kompetitif.
“Dengan ketelusan kos lebih tinggi, kita berharap lebih banyak perniagaan meneroka pilihan RE sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat dalam mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya.
Fadillah turut memberi jaminan kementeriannya bersama ST dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang melaksanakan hebahan grafik dan bahan komunikasi kepada orang awam supaya pengguna benar-benar memahami perubahan yang diperkenalkan.
“Pengguna juga boleh menghubungi talian khidmat pelanggan TNB bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan mengelak kekeliruan atau kebimbangan berhubung sistem tarif baharu ini,” katanya.-UTUSAN









