LPS laksana program mesra komuniti pekak, perkasa sektor pelancongan Sabah

CEO STB, Encik Julinus Jeffery Jimit (tengah) bersama Presiden SSD, Encik Liau Kee Siong dan ahli-ahli pekak semasa lawatan pengenalan bersama LPS dan STGA ke Tapak Ramsar Tanah Bencah Kota Kinabalu pada bulan April.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Pelancongan Sabah (LPS) melatih seramai 37 orang kakitangannya dalam Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) melalui program khas bersama Persatuan Orang Pekak Sabah (SSD).

LPS dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut penting dalam memastikan semua pihak termasuk komuniti pekak dan kurang pendengaran menikmati keunikan serta tarikan negari Sabah.

Katanya, latihan tersebut yang dilaksanakan menerusi dua siri kursus asas bahasa isyarat sekaligus dapat meningkatkan keupayaan perkhidmatan pelanggan LPS dalam melayani pelawat dari komuniti kurang upaya pendengaran.

“Inisiatif ini penting kerana semakin ramai pelawat pekak mula menunjukkan minat terhadap destinasi pelancongan di Sabah, termasuk semasa pameran dan ekspo pelancongan di seluruh negara.

“Langkah ini terbukti berkesan apabila penyertaan LPS dalam MATTA Fair Kuala Lumpur dan Johor Bahru baru-baru ini menyaksikan interaksi positif antara petugas LPS dan pengunjung dari kalangan individu pekak, yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk dan destinasi pelancongan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

LPS berkata, inisiatif itu juga sekaligus memperkukuh imej negeri itu sebagai destinasi yang cakna terhadap keperluan pelancong termasuk orang pekak.

“Usaha ini bukan sahaja memperluas capaian maklumat kepada komuniti kurang upaya, malah membuka jalan ke arah masa depan pelancongan yang lebih inklusif dan menyeluruh pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, LPS menjalin kerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Sabah (SSD) dan Politeknik Kota Kinabalu menerusi penganjuran program berunsurkan hiburan dan komuniti, Lampoopalooza

Menurutnya, acara berkenaan diadakan bagi meningkatkan kesedaran terhadap komuniti orang kurang upaya pendengaran dan memperkasakan sektor pelancongan Sabah.

“Kakitangan LPS dan komuniti kurang upaya pendengaran bergabung tenaga mempersembahkan pembukaan menggunakan bahasa isyarat, manakala keseluruhan konsert disertai jurubahasa isyarat bagi membolehkan pengunjung pekak menikmati pengalaman sama dengan pengunjung lain.

“Acara ini berjaya mewujudkan suasana mesra, penuh semangat dan memberikan pengalaman baharu kepada semua tetamu, termasuk pelawat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN