Akui lesu, Hazwani Helmi kerap kongsi ‘cover’ cari motivasi bermuzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Hazwani Helmi berkata tindakannya kerap berkongsi lagu-lagu saduran atau cover di media sosial belakangan ini adalah bertujuan mencari semula motivasi diri dalam berkarya.

Hazwani atau Nur Hazwani Afiqah Helmi, 29, mengakui dirinya seakan ‘lesu’ kerana sudah lama tidak menghasilkan material baharu selepas muncul dengan lagu Mengukir Takdir, tahun lalu.

“Sejujurnya, saya rasa sudah lama tidak menulis lagu dan tidak membiasakan diri dengan muzik sehingga timbul rasa lesu. Jadi, saya kongsikan lagu-lagu cover ini untuk naikkan semula semangat dan kekal berkarya.

“Pada masa yang sama, saya mahu mengkaji selera pendengar. Menerusi pelbagai genre yang saya kongsikan, saya boleh lihat genre mana yang lebih serasi dengan telinga mereka sebelum saya tampil dengan lagu baharu nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai proses penciptaan lagu, ahli kumpulan The Helmi’s ini menyifatkan dirinya bukan seorang yang mampu menghasilkan melodi dalam tempoh yang singkat.

Jelasnya, dia memerlukan ruang dan perlu merasai sendiri sesuatu emosi sebelum terbit  ilham berkarya.

“Ada orang yang dikurniakan bakat luar biasa di mana mereka boleh dapat melodi dalam sekelip mata. Namun bagi saya, ia mengambil masa yang lama. Saya perlu merasai perasaan itu terlebih dahulu baru lagu akan tercipta.

“Pihak label, Alternate juga telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menggubah lagu seterusnya. Jadi, saya kini sedang menunggu ilham yang tepat daripada Allah SWT untuk merealisasikan projek tersebut,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Hazwani bakal melebarkan sayap ke bidang lakonan menerusi filem Langit 2 Warna arahan Erma Fatima.

Naskhah tersebut bakal menyaksikan Hazwani menggalas cabaran besar apabila perlu beraksi bersama barisan pelakon gred A seperti Reza Rahadian, Ummi Nazeera dan Christine Hakim

“Untuk filem ini, saya memegang watak Izara iaitu adik kepada Ummi Nazeera. Ia satu tanggungjawab yang besar kerana saya perlu belajar banyak perkara termasuklah menguasai dialek Arab Mesir (Lahjah Mesir).

“Persiapan rapi dilakukan selama beberapa bulan kerana dialek ini sangat berbeza dengan bahasa Arab standard yang kita pelajari di sekolah. Saya berharap filem ini nanti bukan sekadar hiburan, tetapi menjadi naskhah yang mampu mendidik jiwa penonton,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN