KUALA LUMPUR: Generasi muda perlu membudayakan sikap menyemak dan meneliti setiap maklumat yang diterima, bukannya menerima sesuatu dakwaan secara bulat-bulat sehingga mudah dipengaruhi propaganda atau sentimen perkauman.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengalaman serta pertemuan beliau dengan pelbagai kelompok sepanjang perjalanan politiknya mengajarnya supaya tidak menjadikan sesuatu maklumat sebagai pegangan sebelum melihat sendiri keadaan sebenar.
Beliau berkata, pendekatan itu antara lain mendorongnya menemui anggota Rejimen Ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM) selepas perjanjian damai bagi memahami sendiri kehidupan dan pegangan agama kelompok yang selama ini sering dilabel sebagai komunis.
Menurutnya, hasil pertemuan itu memberikan gambaran berbeza daripada maklumat yang pernah diterimanya, termasuk mengenai kehidupan masyarakat terbabit yang disifatkannya harmoni serta mempunyai masjid dan menjalankan ibadah secara berjemaah.
“Saya nampak, saya dapat buat perbandingan antara propaganda dan realiti,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran buku terbaharunya, Mustadhafin vs Mustakbirin, di Berjaya Times Square Hotel, di sini, semalam.
Mustadhafin vs Mustakbirin membawa pembaca menyelusuri percaturan geopolitik dunia melalui pengalaman, pemerhatian dan pemikiran Mohamad Sabu.
Buku ini mengangkat persoalan bagaimana dunia dibentuk bukan semata-mata oleh kebetulan, tetapi oleh kuasa, kepentingan dan strategi yang sering tersembunyi di sebalik peristiwa-peristiwa besar.
Bermula daripada kesan penjajahan, kebangkitan gerakan Islam dan perkembangan politik antarabangsa hinggalah konflik Palestin serta perubahan keseimbangan kuasa dunia, buku ini mengajak pembaca melihat hubungan antara sejarah, ideologi, kuasa dan kepentingan antarabangsa dalam membentuk dunia hari ini.
Buku ini bukan sekadar catatan sejarah atau himpunan peristiwa geopolitik sebaliknya mengajak pembaca berfikir tentang persoalan yang lebih besar tentang siapakah yang menguasai dunia, bagaimana persepsi masyarakat dibentuk dan di manakah kedudukan golongan yang tertindas ketika berhadapan dengan kuasa-kuasa besar.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, seseorang tidak seharusnya hanya bergantung kepada apa yang disampaikan melalui ceramah, media atau pihak tertentu tanpa berusaha mendapatkan gambaran sebenar mengenai sesuatu perkara.
Pendekatan itu, katanya, turut digunakan ketika beliau melihat perkembangan politik di Syria, termasuk pendiriannya bahawa pemerintahan Bashar al-Assad perlu dilihat dalam konteks geopolitik yang lebih luas dan bukan semata-mata melalui satu naratif.
Beliau berkata, sepanjang pengamatannya, pelbagai kelompok yang mempunyai kepentingan dalam menentang Israel pernah mempunyai ruang untuk beroperasi di Syria, termasuk kelompok kiri dan kumpulan berteraskan Islam.
Mohamad turut berkongsi pengalamannya bertemu beberapa tokoh agama yang mempunyai pandangan tersendiri mengenai pemerintahan Bashar al-Assad, termasuk kebimbangan terhadap kemungkinan penguasaan pihak yang dilihat pro-Amerika dan pro-Israel sekiranya kerajaan itu tumbang.
Menurutnya, pengalaman berkenaan menguatkan keyakinannya bahawa masyarakat perlu melihat sesuatu isu daripada pelbagai sudut sebelum membuat kesimpulan.
Dalam konteks Malaysia pula, Mohamad mengingatkan supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan naratif berasaskan kaum yang boleh menajamkan perpecahan politik dan sosial.
Beliau berkata, isu seperti tuduhan bahawa mana-mana pihak yang bekerjasama dengan DAP mempunyai kaitan dengan komunisme perlu diteliti secara kritikal, bukannya diterima hanya berdasarkan label atau persepsi.
Katanya, kecenderungan menerima dakwaan tanpa semakan boleh menyebabkan masyarakat menjadi ‘pak turut’ kepada mana-mana pihak, termasuk pemimpin atau penulis yang mereka sokong.
“Saya menulis buku ini supaya anak-anak muda dapat (faham), bukan percaya kepada tulisan saya. Apa yang dikatakan itu mereka buat penyelidikan. Kena timbul persoalan, jangan kita menjadi ‘pak turut’ kepada sesiapa, termasuk bukan ‘pak turut’ kepada saya,” katanya.
Mohamad berkata, sikap kritikal itu juga penting dalam memahami sejarah dan perkembangan kuasa dunia kerana mana-mana kuasa yang terlalu dominan tanpa cabaran berpotensi membawa kepada penyalahgunaan kuasa dan kecenderungan bersifat diktator
Beliau berkata, dunia seharusnya bergerak ke arah keseimbangan kuasa dengan kemunculan lebih banyak kuasa besar seperti China, Russia, Brazil, India dan Iran, bagi mengelakkan satu kuasa mempunyai pengaruh mutlak terhadap percaturan antarabangsa.
Menurutnya, persoalan mengenai kuasa dan golongan yang tertindas menjadi antara asas pemikiran yang diketengahkan menerusi buku Mustadhafin vs Mustakbirin yang membawa pembaca menelusuri sejarah, geopolitik, ideologi dan konflik antarabangsa.
Buku berkenaan turut menyentuh isu Palestin, perubahan keseimbangan kuasa dunia serta hubungan antara sejarah dan kepentingan antarabangsa dalam membentuk perkembangan geopolitik semasa.
Sementara itu, Tokoh Wartawan Negara merangkap Pengarah Star Media Group Berhad, Tan Sri Johan Jaaffar yang melancarkan buku berkenaan berkata, perdebatan mengenai kuasa, penindasan dan hubungan antara pemerintah dengan golongan yang lemah akan terus menjadi wacana selagi wujud manusia dan kemanusiaan.
Beliau berkata, karya itu membuka ruang perbincangan mengenai bagaimana kuasa politik, ekonomi dan ketenteraan membentuk dunia, selain mengetengahkan persoalan mengenai kedudukan golongan yang tidak mempunyai kuasa atau suara.
Johan berkata, buku berkenaan turut memperlihatkan harapan Mohamad terhadap masa hadapan Palestin dan pembebasan rakyatnya, selain mengajak pembaca melihat isu berkenaan daripada perspektif geopolitik yang lebih luas.
Menurutnya, pandangan yang diketengahkan Mohamad merupakan hasil pengalaman, pemerhatian dan analisis peribadinya, sekali gus menjadikan buku itu sebagai bahan untuk mencetuskan perbincangan dan pemikiran, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Mustadhafin vs Mustakbirin ditulis bersama Ennie Zuhasniza Jamaludin dan dijual pada harga RM45 senaskhah, manakala edaran buku itu dikendalikan Kumpulan Media Karangkraf.
Buku berkenaan turut dirancang untuk diterbitkan dalam versi bahasa Inggeris bagi membolehkan pemikiran dan pengalaman Mohamad mengenai geopolitik dikongsi dengan khalayak lebih luas.
Majlis pelancaran turut dihadiri beberapa wakil diplomatik asing termasuk Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, TYT Vanu Gopala Menon; Duta Besar Persekutuan Russia ke Malaysia, TYT Naiyl M. Latypov; Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, TYT Raden Dato’ Mohammad Iman Hascarya Kusumo dan Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi selain pimpinan kerajaan, pimpinan AMANAH. – UTUSAN










