AUKU: Pas mahu jawatankuasa akta IPT libatkan pembangkang

MOHD. Amar Nik Abdullah (kanan) bersalaman dengan orang-ramai yang menghadiri Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas mahu jawatankuasa bebas yang ditubuhkan bagi meneliti penggubalan Akta Pendidikan One Higher Education Act sebagai pengganti Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), tidak didominasi mana-mana pihak, sebaliknya merangkumi wakil pelbagai lapisan berkepentingan termasuk pembangkang.

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, jawatankuasa berkenaan perlu dianggotai individu yang benar-benar mempunyai kemahiran serta memahami kehidupan dan realiti yang dihadapi pelajar serta pensyarah di institusi pendidikan tinggi (IPT).

“Jawatankuasa itu mesti diwakili oleh semua pihak iaitu kerajaan, pembangkang, ahli akademik, golongan profesional, pemimpin dan bekas-bekas pemimpin pelajar. Biar semua pihak ada wakil.

“Masing-masing perlu beri pandangan supaya kerajaan boleh menghasilkan akta baharu yang lebih baik. Jangan pilih-pilih orang atau hanya tumpu kepada kumpulan tertentu tetapi biar ia merangkumi semua lapisan masyarakat,” katanya  selepas menyampaikan Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu, di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi meneliti keseluruhan aspek berkaitan penggubalan akta baharu susulan keputusan kerajaan memansuhkan AUKU.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, penubuhan jawatankuasa bebas itu adalah langkah pertama yang akan dilaksanakan dalam usaha membangunkan One Higher Education Act bagi menggantikan AUKU.

Mohd. Amar berkata, akta baharu yang bakal menggantikan AUKU perlu memberikan kemerdekaan kepada pensyarah dan pelajar IPT untuk menyuarakan pandangan masing-masing.

Katanya, ruang lebih luas perlu diberikan kepada golongan berkenaan kerana pandangan pensyarah mampu membantu negara dalam aspek pembangunan insan, masyarakat dan pendidikan.

“Pelajar kita pula adalah bakal pemimpin. Jadi kita sepatutnya memberikan ruang kepada mereka di universiti untuk mengasah mental serta pemikiran mereka dengan pandangan-pandangan konstruktif dan kritikal.

“Sekatan-sekatan melalui AUKU menyebabkan pelajar jadi beku dan tidak peduli mengenai perkembangan semasa dan negara. Akhirnya mereka tumpu akademik semata-mata sungguhpun ia tidak cukup untuk membentuk pemimpin yang baik,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN