Biru Mata Hitamku imbau nostalgia tiga dekad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya agak teruja apabila menerima jemputan berkenaan sidang media konsert ini. Tiada nama kumpulan yang diiklankan, cuma sebaris tajuk sebuah album yang pernah menjadi sebutan satu ketika dahulu.

Mungkin segelintir individu beranggapan tiada apa yang istimewa tentang konsert ini, atau sekadar sebuah persembahan biasa yang dianggotai oleh’otai-otai’ rock seperti sebelum ini. Namun, kepada yang tahu rentetan jalan ceritanya pasti punya makna di sebaliknya.

Tidak keterlaluan jika saya katakan inilah konsert paling dinanti peminat rock tanah air. Ironinya, bukan semata meletakkan empat sosok tersohor ini di atas sebuah pentas, tetapi menjurus imbauan nostalgia yang telah terpahat 30 tahun sebelum ini.

Konsert ini tidak perlu ‘menjual’ nama kumpulan atau individu tertentu sebagai pelaris, cukup sekadar memahat simbolik, ‘Biru mata Hitamku’ yang bakal memberi sejuta makna untuk dikupas dan difahami.

Meraikan 30 tahun ‘anniversary’ adalah kekuatan yang diketengahkan. Jika mendapat sambutan, tidak mustahil ia bakal terpahat dalam sejarah dan menjadi ‘concert of the year’ yang bakal dikenang satu hari nanti.

Menyingkap jendela sejarah, bersandarkan judul album ‘Biru mata Hitamku’ yang diterbitkan pada tahun 1996, kolaborasi Muss (vokalis), JoBranko (gitar), Eddie (bass) dan Black (drum) telah berjaya menampilkan energi muzik baharu yang berjaya menambat hati peminat. Semuanya tercipta setelah JoBranko mengambil keputusan berani dengan memilih Muss untuk mengisi kekosongan ‘jawatan’ penyanyi yang ditinggalkan sebelum itu.

Tidak mahu terburu-buru terima tawaran

Menurut JoBranko, Biru Mata Hitamku merupakan antara album ikonik terbaik yang pernah dihasilkannya, selain mencipta keaslian dan identiti tersendiri, gabungan vokal Muss dilihat memantapkan lagi naskah ‘master piece’ ini.

“Sehingga kini lagu Biru Mata Hitamku masih diminati dan melekat di hati peminat, malah turut tercalon dalam finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) dan dinobatkan sebagai Kulit Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 1996, jadi semua itu memang sangat nostalgia.

“Dalam album itu juga lagu-lagu seperti Makam Kekasih, Satu Titik Yang Kosong, Gegar Gunung Gemora dan Enigma turut mendapat perhatian peminat kerana lirik dan melodinya yang punya kualiti tersendiri,” ujarnya.

Katanya, sebelum ini memang ada penganjur yang merisik dan mencadangkan idea meletakkan mereka sepentas. Namun dia tidak mahu terburu-buru kerana perancangan sebegini perlu disusun rapi, malah di waktu sama perlu melangsaikan beberapa projek bersama kumpulannya, Barbarik.

“Jadi, setelah bertemu dengan pihak Icon Entertainment , mereka membentangkan satu kertas kerja yang cukup menarik dan amat berbeza, jadi kenapa tidak kami menyambutnya dengan tangan terbuka? Lagipun kita tahu mereka merupakan penganjur yang cukup dinamik, berdisplin serta menitik beratkan artis-artis di bawah kendaliannya.

“Jadi, setelah berbincang dan dapat kata putus yang sewajarnya, kami terima tawaran tersebut. Konsert ini bukan sahaja mengubat rindu peminat, tetapi secara peribadinya saya turut teruja untuk sepentas dengan rakan-rakan yang pernah berjuang bersama kira-kira 30 tahun lalu,” ujarnya.

Pemain bass, Eddie turut menambah apa yang dirancangkan ketika ini perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Katanya, walaupun ketika itu album Biru Mata Hitamku berjaya terjual ratusan ribu unit, namun mereka jarang mengadakan konsert berskala besar.

“Banyak lagu dari album tersebut yang sedap dan berkualiti jarang dimainkan radio, jadi ini adalah masa yang sesuai untuk peminat saksikan sendiri di depan mata serta menggamit kembali nostalgia lalu sewaktu kami bersama.

“Walaupun saya ada terlibat dengan beberapa projek bersama Barbarik sebelum ini, namun konsert Biru Mata Hitamku agak berbeza kerana kami berempat yang akan bersama dari awal hingalah ke akhir, jadi perlu ada persiapan rapi,” ujarnya.

Pemain drum, Black turut mempunyai pendapat sama. Menurutnya, Biru Mata Hitamku bukan sekadar menghimpun koleksi karya hebat, tetapi menjurus kepada perjuangan yang tidak pernah padam demi kelangsungan ‘sebuah nama’ yang masih kekal sehingga hari ini.

“Kami ada beberapa album dahulu yang setiap lagu-lagunya punya kekuatan tersendiri, tetapi Biru Mata Hitamku punya kelainan tersendiri, ia merupakan eksperimen baru yang perlu dihidupkan dengan anggota yang berbeza.

“Keberadaan Muss juga adalah bench mark untuk kami ketika itu di mana setiap susunan muzik dan lagu terpaksa dirombak dan ‘diblend’ untuk disesuaikan dengan vokalnya dan jiwa pendengar,” ujarnya.

Perlu jaga kesihatan dan stamina

Penyanyinya, Muss juga tidak menafikan konsert ini bakal mencipta sejarah tersendiri apabila mereka digabungkan kembali di atas satu pentas. Bukan hanya menggamit memori lampau, tetapi berdiri bersama rakan-rakan yang pernah bersamanya ketika 30 tahun lalu.

“Konsert ini amat bermakna kerana kami punya banyak karya yang tidak pernah dipersembahkan. Saya ada banyak album bersama mereka, jadi kami berempat akan all out dari mula hingga akhir, tanpa membawakan artis jemputan.

“Konsep ini pasti akan memberi kepuasan kepada peminat di mana mereka boleh enjoy dengan susunan lagu-lagu hits kami. Saya juga kena jaga kesihatan dan stamina kerana lagu-lagu dalam album dahulu semuanya bernada tinggi. Masa muda tak apalah, sekarang ni kena minta Jo susun cantik-cantik kalau tak boleh pancit nanti,” ujarnya tertawa.

Pemilik jenama Icon Entertainment, Iman Tang turut yakin konsert Biru Mata Hitamku Ini bakal mencipta sejarah tersendiri buat pencinta muzik rock tanah air.

Menurutnya konsert ini akan menjadi medan ‘reunion’ buat mereka. Selain mengimbau nostalgia lampau, pastinya pada malam konsert nanti akan tercipta banyak momen-momen indah yang tidak mungkin berulang lagi.

“Di sinilah sejarah bakal tercipta. Empat brotherhood yang akan menggegarkan pentas tanpa henti setelah ke semuanya kembali bergabung untuk merealisasikan sebuah naskah sejarah yang mungkin tidak akan berulang lagi.

“Sengaja kita tidak meletakkan nama kumpulan atau sebagainya untuk konsert ini. Namun jenama ‘Biru Mata Hitamku’ sudah cukup menggambarkan apa yang bakal dipentaskan nanti. Walau nampak pelik, tetapi ia adalah sesuatu yang menarik kerana saya memang suka mencipta sesuatu yang unik, yang orang tidak pernah buat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN