PETALING JAYA: Dua individu cedera selepas motosikal dinaiki mereka terlanggar pintu sebuah kereta yang dibuka secara tiba-tiba di Jalan Bunga Mawar 2, Taman Muda, di sini, semalam.
Dalam kejadian pada 7.15 pagi itu, motosikal berkenaan dalam perjalanan dari Tasik Permai menghala ke Taman Muda.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 12.45 tengah hari.
Katanya, siasatan awal mendapati ketika motosikal itu sedang bergerak lurus tiba-tiba sebuah kereta berhenti dan penumpang belakang sebelah kiri membuka pintu lalu menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat mengelak dan terlanggar pintu berkenaan.
“Akibat kejadian itu, penunggang dan pembonceng motosikal terjatuh ke tepi jalan dan cedera. Kedua-dua mangsa terbabit sudah mendapatkan rawatan di hospital.
“Kedua-dua pihak terbabit juga sudah hadir membuat laporan polis berhubung kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian penumpang kereta yang membuka pintu.
“Susulan itu, tindakan kompaun sudah dikenakan kepada pemandu kereta mengikut Kaedah 10 LN 166/59,” jelasnya. – UTUSAN










