Dua sahabat tidak mengaku rompak berkumpulan

MOHD. Hasni Mohd Rezki Ramli diiringi keluar dari Mahkamah Seksyen Setiu, Terengganu. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU : Seorang penganggur dan kenalan wanitanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan rompakan secara berkumpulan di Besut, bulan lalu.

Mohd. Hasni Mohd Rezki Ramli, 41, dan Mastura Idayu Ramalai, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga emas berumur 68 tahun. Mereka didakwa mengambil seutas rantai leher emas milik mangsa di sebuah rumah di Kampung Bukit Cina, Jertih, kira-kira pukul 11.30 pagi pada 27 Julai lalu.

Pertuduhan berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan hukuman sebatan. Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM 10,000 untuk setiap orang dengan seorang penjamin.

Selain itu, mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai serta tertuduh tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan terutamanya mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Atifah Manaf. Mahkamah menetapkan 8 September ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN