PETALING JAYA: EP Manufacturing Berhad (EPMB), penyedia penyelesaian automotif terkemuka Malaysia mencatatkan hasil suku tahunan tertinggi sejak tahun 2016, didorong oleh kerjasama penyetempatan automotifnya bersama pengeluar kereta dari China.
Syarikat merekodkan hasil bagi suku kedua tahun 2026 berjumlah RM212.68 juta, meningkat 67 peratus berbanding RM127.70 juta pada tahun sebelumnya.
EPMB berkata, keuntungan bersih pula melonjak hampir 19 kali ganda kepada RM5.15 juta, berbanding RM0.28 juta pada tahun sebelumnya.
Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, prestasi kukuh itu mencerminkan keupayaan pelaksanaan operasi yang mantap serta kemajuan berterusan dalam pelbagai inisiatif pertumbuhan strategik syarikat.
Katanya, syarikat mengumumkan jumlah pengeluaran automotif menerusi kerjasama dengan GWM, SAIC-MG dan XPENG telah melepasi 1,000 kenderaan sebulan pada suku kedua.
“Kami menjangkakan pertumbuhan selanjutnya apabila model-model baharu mula memasuki fasa pengeluaran dan aktiviti eksport terus dipertingkatkan di seluruh ASEAN serta pasaran antarabangsa yang lain.
“Pada Jun lalu, kami memulakan pembinaan fasiliti pengecatan kenderaan baharu kami di Pegoh, Melaka.
“Dengan penambahan keupayaan pengecatan kenderaan, salah satu proses yang paling maju dari segi teknologi dalam pembuatan kereta, kami terus mempercepatkan transformasi kami menjadi rakan kongsi pembuatan automotif bersepadu secara menegak kepada syarikat-syarikat automotif global,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, syarikat telah memperoleh program komponen baharu bagi model-model Proton dan Perodua yang bakal diperkenalkan dam ia dijangka akan menjadi pemacu pertumbuhan positif bagi EPMB.
“Kami akan terus berusaha ke arah merealisasikan visi kami untuk membangunkan sebuah hab pembuatan automotif sehenti yang berkeupayaan memenuhi keperluan jenama automotif global serta menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi pusat serantau terkemuka bagi pengeluaran dan eksport automotif,” jelasnya. – UTUSAN










