KEJAYAAN menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) mengikut tempoh Graduate on Time (GOT) tidak seharusnya dijadikan ukuran mutlak terhadap kematangan intelektual seseorang sarjana.
Sebaliknya, kematangan intelektual lebih terserlah melalui kedalaman penguasaan ilmu, keupayaan mengurus wacana akademik, kebijaksanaan berhujah, keluasan perspektif serta integriti dalam penyelidikan.
Pandangan itu dikemukakan oleh Prof. Dr. Kamarul Shukri Mat Teh, Profesor di Universiti Al-Quran Sultan Abdullah (UNIQSAAS), yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), menerusi satu hantaran di Facebook, baru-baru ini yang mengupas makna sebenar kematangan intelektual dalam dunia akademik.
Menurut beliau, pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh lebih singkat sememangnya menunjukkan disiplin, fokus dan komitmen yang tinggi. Namun, pencapaian tersebut tidak semestinya mencerminkan keupayaan menguasai bidang secara mendalam atau mempertahankan penyelidikan dengan mantap ketika sesi viva voce.
“PhD is a marathon, not a sprint,” katanya, sambil menjelaskan bahawa pengajian doktor falsafah ialah proses membina ketahanan intelektual, kematangan berfikir dan kewibawaan ilmu, bukannya sekadar mengejar tempoh penyelesaian.
Beliau berkata, terdapat juga pelajar yang mengambil masa lebih panjang untuk menyiapkan tesis, namun memperlihatkan kematangan intelektual melalui keupayaan menjelaskan rasional penyelidikan, membina hujah akademik, membandingkan pandangan sarjana serta menghubungkan dapatan kajian dengan isu semasa.
Menurutnya, kematangan intelektual dapat dilihat melalui keupayaan seseorang mengurus wacana ilmu secara kritis dan berasas, bukan hanya berdasarkan tempoh yang diambil untuk menamatkan pengajian.
Mengulas ukuran kecemerlangan akademik, beliau berkata pencapaian seperti penerbitan artikel dalam jurnal berindeks, kejayaan pertandingan inovasi penyelidikan dan status GOT merupakan pengiktirafan yang penting, namun lebih menggambarkan pencapaian luaran.
“Kematangan intelektual pula ialah pengiktirafan dalaman yang lahir daripada keluasan ilmu, kewibawaan berhujah, kejujuran akademik dan integriti penyelidikan,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman seorang profesor yang menilai calon PhD yang memiliki beberapa penerbitan dalam jurnal berprestij, namun tesisnya didapati mempunyai kelemahan metodologi yang menjejaskan kesahan dapatan kajian.
Katanya, situasi tersebut menunjukkan bahawa penerbitan berkualiti tidak semestinya menggambarkan kekuatan keseluruhan sesuatu penyelidikan kerana pemeriksa viva menilai keseluruhan tesis, termasuk aspek metodologi, pembinaan hujah dan penguasaan calon terhadap bidang kajian.
Dalam pada itu, beliau berpandangan syarat kenaikan pangkat akademik seperti jumlah penerbitan, geran penyelidikan, pencapaian pentadbiran dan pelbagai bentuk pengiktirafan sememangnya penting sebagai mekanisme pengurusan institusi pengajian tinggi.
Namun, katanya, pencapaian tersebut belum memadai untuk menggambarkan kematangan intelektual seseorang ahli akademik sekiranya tidak disertai penguasaan ilmu yang mendalam, pemikiran kritikal dan keupayaan menyumbang kepada perkembangan wacana ilmu.
Sehubungan itu, beliau menyeru golongan akademik dan penyelidik supaya terus memperkukuh penguasaan bidang, memperhalusi pemikiran serta memelihara integriti penyelidikan walaupun telah mencapai tahap pendidikan atau kerjaya yang tinggi.
“Kematangan intelektual ialah proses yang berterusan dan perlu diterjemahkan melalui setiap penulisan, penyelidikan, pengajaran serta perbahasan ilmiah,” katanya.
Pandangan tersebut membuka ruang kepada perbincangan lebih luas mengenai keperluan menilai kecemerlangan akademik secara lebih holistik.
Dalam era pendidikan tinggi yang semakin menekankan produktiviti, petunjuk prestasi dan pencapaian kuantitatif, keseimbangan antara ukuran luaran dengan kematangan intelektual amat penting bagi melahirkan sarjana yang bukan sahaja berjaya dari sudut rekod akademik, malah berwibawa sebagai pemimpin ilmu.
Penulis ialah Dr. Mhd Faizal Mhd Ramli










