Ikuti sirah Nabi Muhammad cintai negara

MUHAMAD RANYI JAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cintakan tanah air merupakan antara sifat terpuji yang amat dituntut dalam Islam dan perlu diterjemahkan masyarakat menerusi penghayatan sebenar terhadap erti kemerdekaan sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Imam Masjid Al-Muhajirin, Simpang Empat Chenderong Balai, Labu Kubong dekat Pasir Salak, Perak, Muhamad Ranyi Jaman, 69, mengajak masyarakat menghayati makna kemerdekaan negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, esok.

Menurutnya, kemerdekaan yang dinikmati hari ini perlu dihargai dengan menoleh kembali sejarah perjuangan generasi terdahulu yang berkorban tenaga, keringat dan darah bagi membebaskan tanah air daripada penjajahan.

“Kalau masyarakat hari ini mengambil mudah sahaja soal kemerdekaan, kita seolah-olah menganggap perjuangan datuk nenek kita dahulu terlalu senang untuk mendapatkan kemerdekaan.

“Sedangkan ia melibatkan macam-macam pengorbanan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Muhamad Ranyi berkata, sejarah Islam turut memperlihatkan contoh kecintaan terhadap tanah air serta kesungguhan mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.

Menurutnya, kisah perjuangan dalam sirah Rasulullah SAW termasuk pengorbanan para sahabat dalam mempertahankan panji Islam wajar dijadikan teladan oleh umat Islam hari ini.

“Banyak kisah sayangkan negara semasa zaman Nabi SAW, termasuk mempertahankan negara dan bendera. Kalau kita tengok sirah Rasulullah dahulu, pemegang bendera Islam, apabila tangan kanan terputus, digantikan dengan tangan kiri.

“Begitulah mereka mempertahankan negara dan kedaulatan Islam. Mereka tidak goyah dan tidak mudah menyerah kalah,” katanya.

Beliau berkata, semangat mempertahankan agama, negara dan kedaulatan sudah wujud sejak zaman Rasulullah SAW. Namun perkara itu kadangkala dilupakan kerana masyarakat kurang menghayati sirah Baginda.

Menurutnya, kecintaan terhadap negara juga perlu dizahirkan melalui sikap bertanggungjawab sebagai rakyat dengan menghormati kepemimpinan serta mematuhi arahan Raja-Raja.

Katanya, rakyat perlu bersama-sama menjaga keamanan dan tidak melakukan tindakan yang boleh mencetuskan perpecahan atau porak-peranda dalam negara.

“Jangan ada pihak yang membuat ideologi sendiri tanpa memikirkan masyarakat yang berada dalam negara,” katanya.

Muhamad Ranyi berkata, tanggungjawab generasi hari ini bukan sekadar menikmati kemerdekaan, sebaliknya mempertahankan kebebasan dan kedaulatan negara untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Oleh itu, katanya, penghayatan terhadap Rukun Negara juga penting dalam usaha memelihara kemerdekaan, kedaulatan dan keharmonian negara.

“Untuk memelihara kemerdekaan dan kedaulatan negara, kita kena ikut Rukun Negara. Itu perkara pokok. Bacalah lima prinsip Rukun Negara.

“Di situ kita faham, dan daripada situlah timbul kecintaan kepada negara serta keperluan untuk memelihara keharmonian negara kita,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, golongan muda perlu mempelajari sejarah perjalanan negara bagi memahami kemerdekaan yang dikecapi hari ini.

“Ramai yang tidak begitu mengambil tahu mengenai perjuangan kemerdekaan. Jadi, anak muda perlu belajar dan mencari sejarah bagaimana Malaysia terbentuk sehingga hari ini.

“Saya berharap media sosial turut menonjolkan jerih payah mereka yang terdahulu memperjuangkan kemerdekaan,” katanya.

Muhamad Ranyi yang dilahirkan pada 17 November 1957 turut berkhidmat sebagai Penolong Pendaftar Nikah Cerai Rujuk Keluarga Islam bagi Mukim Labu Kubong di Pasir Salak.

Beliau yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor kemudian berpindah ke Perak dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Chenderong Balai, Sungai Manik.

Beliau kemudiannya berpindah semula ke Selangor mengikut keluarganya yang mencari rezeki di beberapa tempat sebelum melanjutkan pengajian di sekolah agama di Sabak Bernam.

“Pekerjaan pertama saya adalah di Unit Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Perak, cawangan Teluk Intan. Kemudian saya meneruskan kerjaya sebagai guru KAFA di Sekolah Islahiah Simpang Empat, Labu Kubong, Sungai Manik sehingga dilantik sebagai guru besar.

“Saya bersara pada usia 62 tahun sebelum dilantik sebagai Imam Masjid Al-Muhajirin, Simpang Empat Chenderong Balai, Sungai Manik dan seterusnya sebagai Penolong Pendaftar Nikah Cerai Rujuk Keluarga Islam bagi Mukim Labu Kubong,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengajar tilawah al-Quran di surau dan masjid sekitar Pasir Salak serta membimbing anak murid di pejabatnya sehingga berjaya muncul johan pertandingan KAFA peringkat kebangsaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN