KUALA TERENGGANU: Seorang jurutera awam sebuah universiti di negeri ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan memperdaya lima kontraktor sehingga menyerahkan wang berjumlah RM18,198, antara 2023 hingga 2024.
Mohd. Nizam Mohd., 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdaya lima kontraktor dengan mendorong mereka menyerahkan wang untuk tujuan pembelian peralatan, bayaran perkhidmatan serta sumbangan kepada program atau kelab universiti.
Tertuduh didakwa mengetahui wang berkenaan tidak akan digunakan bagi tujuan tersebut, sebaliknya secara tidak jujur mendorong kesemua mangsa memindahkan wang berjumlah RM18,198 ke dalam akaun bank milik isterinya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara tahun 2023 hingga 2024 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan beberapa syarat tambahan termasuk tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu sebelum atau pada 5 haribulan setiap bulan serta tidak berkomunikasi dengan mana-mana saksi pendakwaan sehingga prosiding perbicaraan selesai.
Kes disebut semula pada 24 September ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amalina Najwa Mohd Ali bersama Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Raihan Mohd Yusof dan Fatiha Abdul Shatar.
Tertuduh diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Ladin daripada firma guaman Wan Shahrizal, Hari & Co. – UTUSAN










